12 jam tunggu dalam semak
Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 10 August 2014 | 17:16
DUNGUN - Seorang pengedar dadah sanggup bermalam di kawasan semak semata-mata ingin menunggu pelanggan, namun penantiannya selama lebih 12 jam sia-sia apabila yang hadir bukan penagih seperti diharapkan, sebaliknya sekumpulan anggota polis yang melakukan serbuan.
Bagaimanapun usaha polis untuk memberkas suspek berhadapan kesukaran apabila dia cuba meloloskan diri sebelum berlaku pergelutan dalam semak berhampiran lereng bukit.
Difahamkan, usaha memburu suspek berusia awal 40-an itu dilakukan sejak lebih enam bulan lalu, namun tindakan liciknya yang sering mengubah modus operandi menyukarkan pihak berkuasa mengesannya.
Hasil risikan, polis akhirnya berjaya mengesan lokasi persembunyian suspek lalu melancarkan operasi khas untuk menangkapnya di kawasan semak berdekatan Dungun Lumber, pagi semalam.
Selepas suspek berjaya diberkas, polis yang melakukan pemeriksaan menemui 24 botol berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis morfin dalam beg sandang dipakainya.
Siasatan awal mendapati suspek yang sering keluar masuk penjara itu membelanjakan hampir RM7,000 untuk dijadikan modal bagi mendapatkan bekalan dadah yang dirampas tersebut.
Mengikut harga pasaran, dadah tersebut dipercayai bernilai hampir RM12,000.
Polis juga berjaya memberkas dua penagih berusia 23 dan 24 ketika tiba di lokasi, dipercayai untuk mengambil bekalan dadah daripada suspek.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani mengesahkan tangkapan tersebut dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.
--sinar
Share this article :
Labels:
Jenayah