Home » » Pas paling layak jadi MB

Pas paling layak jadi MB

Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 10 August 2014 | 17:15


KENAPA ultra kiasu sangat marah kepada Menteri Besar (MB) Selangor? Jawapannya mudah, MB hari ini tidak menguntungkan mereka. Sebab itu, mereka mahu segera ditukarkan agar cita-cita mereka tercapai.

Sama juga isu Kidex dan Lynas, kenapa mereka begitu menentang? Kerana yang banyak terlibat adalah mereka. Apa juga yang melibatkan kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan. Tetapi jika kena pada orang Islam, tak ada masalah. Mereka buat tidak tahu.

Setakat ini, Selangor telah ditadbirkan dengan baik oleh Abdul Khalid, lebih baik dari zaman Umno lagi. Kenapa mereka begitu marah? Kerana MB hari ini rasional, tidak terlalu berpolitik, tetapi lebih memikirkan kepentingan rakyat. Inilah negarawan yang sebenar, bukan negasawan.

Jika pun diganti dengan calon lain, sudah tentu calon itu bukan datang dari PKR tetapi adalah Pas. Pas lebih berwibawa dan layak. Kenapa ultra kiasu langsung tidak mencalonkan Pas? Adakah kita masih buta?

Terdapat ramai Adun Pas anak Selangor yang berkaliber untuk menjadi MB Selangor, terutamanya rakan sekampus saya, Sallehin Mukyi. Selangor tidak memerlukan orang luar untuk menjadi MB. Lainlah kalau anak-anak Selangor tidak layak.

Kenapa saya berkata sedemikian? Pertama, dari segi bilangan kerusi, kerusi Pas lebih banyak daripada ultra kiasu. Sudah sampai masanya, amanah ini diserahkan kepada Pas. Persoalannya, kenapa ultra kiasu tidak mahu berikan? Mereka tidak pernah percaya kepada Pas. Peliknya, kenapa Pas terlalu mempercayai mereka?

Jangan terlalu bersangka baik, terutama kepada musuh yang sudah jelas menentang Islam. Tidak mustahil jika suatu hari nanti mereka menikam dari belakang.

Jangan banding keadaan di Kedah dan Kelantan. Senario politik dua negeri ini berbeza. Pas sudah lama bertapak di sini. Ikutkan hati, satu kerusi pun tidak perlu diberikan kepada ultra kiasu. Tetapi, kenapa Pas masih memberi laluan? Sudah tentu atas nama kawan dan sepakatan. Maka hormatilah keputusan itu.

Kedua, dari segi moral dan akhlak, sudah tentu orang Pas mempunyai lebih kredit. Calon Pas sudah terkenal dengan akhlak mulia dan lebih memenuhi ciri-ciri kepemimpinan Islam berbanding ultra kiasu.

Kebanyakan Adun Pas jarang yang kontroversi. Latar belakang mereka baik. Kalau adapun yang sedikit kontroversi, hanya beristeri lebih daripada satu. Hak lain, boleh dikatakan terkawal. Keluarga mereka terjaga. Prinsip perjuangan jelas.

Ketiga, Pas adalah parti yang paling kanan dalam Pakatan ultra kiasu. Parti ini berjaya mentarbiyyah ahlinya supaya jangan terlalu mengejar dunia. Sebab itu, Pas sukar sekali untuk dibeli.
Berbanding dengan parti lain, jika tidak ada dana luar yang membantu, sudah lama ia bungkus.

Tanya parti ultra kiasu, berapa banyak sumbangan yang diterima daripada jutawan mereka? Ini tidak termasuk sumbangan luar. Berbanding Pas, berbekalkan air liur dan semangat ahlinya, Pas survive. Sehingga kini Pas jarang goyah, walau apa jua taufan yang melanda.

Sama ada Pas terkeluar daripada Pakatan atau sokongan pengundi terhakis, bukan saja ia mengancam beberapa MP Pas seperti Parit Buntar, Kota Raja, Sepang, Pokok Sena dan lain-lain, MP ultra kiasu juga akan terjejas seperti Kuala Kedah, Gombak, Pandan dan lain-lain.

Menurut Subky Latif, adakah Pas campur tangan atas urusan rumah tangga PKR? Tidak mudah untuk mengatakan Pas campur tangan dalam urusan parti lain. Pas tidak kisah apabila PKR menggantikan Khalid sebagai ketua PKR Selangor atau pemilihan parti itu tidak menyokong Khalid.

Tetapi menteri besar adalah urusan bersama. Pas mesti tahu dan dirundingi apabila MB hendak digantikan kerana di bawah MB itu ada Exco Pas. Setakat ini keputusan itu adalah sebelah pihak. Ia dimaklumkan saja kepada Pas.

Apabila ultra kiasu menolak percubaan Pas hendak membawa usul persendirian hudud ke Parlimen, maka Pas tetap mengekalkan sikapnya untuk terus dengan Pakatan dan tidak pernah mencerca penolakan itu. Kenapa ultra kiasu begitu bernafsu apabila Pas tidak bersetuju dengan tindakan mereka?

Akhirnya, jika ditakdirkan ultra kiasu berjaya ke Putrajaya, apakah Pas akan diberikan jawatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri? Jauh panggang dari api. Ultra kiasu tidak pernah percaya kepada mereka yang memperjuangkan Islam untuk memerintah.

Peliknya, Pas nampak bahaya itu. Kenapa masih berada dalam Pakatan? Inilah realiti politik. Sesuatu yang sukar dijangka...
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger