Home » » Pemecatan Khalid benarkan PAS setuju calon MB baharu, kata sumber

Pemecatan Khalid benarkan PAS setuju calon MB baharu, kata sumber

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 10 August 2014 | 17:13


Tindakan PKR memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertujuan memberikan jalan keluar kepada sekutu mereka PAS yang berpecah kerana menyokong menteri besar Selangor penggal kedua itu atau bersetuju dengan desakan menggantikannya.
Menurut sumber dalaman Pakatan Rakyat (PR), parti Islam itu kini sudah menerima pemecatan Khalid namun masalahnya adalah pemilihan PKR untuk meletakkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengetuai negeri terkaya itu.
Sebelum ini sebahagian pemimpin konservatif dalam PAS diketuai Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih berminat untuk mengekalkan Khalid sehingga penggal tamat.
Pendirian mereka menyebabkan pergolakan PAS dan rakan mereka PKR dan DAP, yang kedua-duanya mahu Khalid disingkirkan kerana banyak aduan terhadap bekas tokoh korporat itu mentadbir Selangor tanpa meminta pandangan PKR termasuk pemimpin tertinggi PR.
Khalid juga dikritik kerana cara beliau menguruskan isu termasuk catuan air; rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais); dan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), menyebabkan kemarahan sesetengah pemimpin PR kerana ia dilihat menentang manifesto pilihan raya gabungan itu yang mahu memansuhkan lebuh raya bertol.
Walaupun menerima pemecatannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu berkata pemecatannya “tidak mengikut undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan parti” dan berikrar untuk kekal sebagai menteri besar sehingga menerima nasihat daripada Sultan Selangor.
Majlis Dewan Diraja Selangor dijadualkan akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan krisis berlarutan dalam negeri itu.
Seorang pemimpin kanan PR memberitahu The Malaysian Insider Khalid bukan lagi isu bagi PAS.
“Beliau sudah pun dipecat dan bukan lagi MB yang sah. Mereka sudah menerima isu ini sebagai isu lepas.
“Masalah sekarang adalah siapa yang akan menjadi MB adalah isu,” kata pemimpin itu dengan syarat tidak dinamakan.
Wakil kedua-dua PAS dan DAP bertemu hujung minggu lalu di Kuala Lumpur untuk merangka strategi bagaimana menguruskan hal ini kerana ia mampu memecahkan gabungan berusia enam tahun itu.
Kedua-dua pihak bersetuju Khalid tidak akan berhenti selagi gabungan itu mampu mengemukakan nama calon kepada istana.
PKR berkeras mahukan presiden mereka Dr Wan Azizah sebagi satu-satunya calon untuk jawatan tertinggi itu, langkah yang mendapat sokongan kuat sekutu mereka DAP.
Sudah menjadi rahsia umum PAS berpecah dalam isu menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah kerana dua sebab.
Sementara mempunyai wanita untuk mengetuai kerajaan negeri tidak disenangi sesetengah pemimpin, kemampuannya untuk membuat keputusan turut dipersoalkan kerana beliau merupakan isteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Disebabkan itu, difahamkan sesetengah pemimpin PAS mencadangkan Adun Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk mengakhiri kemelut jawatan menteri besar Selangor itu.
Seorang lagi pemimpin kanan PR berkata gabungan itu akan menamakan Dr Wan Azizah terlebih dulu dan jika Sultan Selangor menolak cadangan itu, mereka akan menamakan calon alternatif.
Kedua-dua PAS dan DAP mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PKR kini mempunyai 13 kerusi kerana Khalid merupakan Adun bebas selepas dipecat pada Sabtu.
Parti tunjang Barisan Nasional (BN) Umno mempunyai 12 kerusi daripada 56 kerusi DUN. – 11 Ogos, 2014.
--sumber 
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger