Home » » ” Exco Yang Enggan Bersama Saya Boleh Lepaskan Jawatan “ - Khalid

” Exco Yang Enggan Bersama Saya Boleh Lepaskan Jawatan “ - Khalid

Written By Berita Setiap Hari on Monday 11 August 2014 | 04:13


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor sehingga ada perkembangan terbaharu.

Abdul Khalid berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan oleh beliau berhubung kedudukannya sebagai menteri besar.

“Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya masih memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Justeru, DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai menteri besar Selangor,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, PKR mahu Abdul Khalid berundur bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar baharu.

Berhubung kemungkinan usul undi tidak percaya yang boleh dikenakan terhadap beliau, Abdul Khalid berkata pihak berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghantar laporan kepada Sultan Selangor.



Katanya, sehingga kini Sultan tidak menerima apa-apa laporan berhubung usul tersebut.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata beliau masih boleh meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan empat anggota Exco daripada PAS sedia ada yang menyatakan sokongan terhadap beliau.

“Ini kerana menurut Artikel 53 (2) (b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 memperuntukkan bahawa mesti ada sekurang-kurangnya empat ataupun sehingga 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk menjalankan pentabiran.

“Keempat-empat anggota Exco dari PAS telahpun menyatakan persetujuan untuk berada di bawah pimpinan saya.

Abdul Khalid turut menasihati barisan anggota exco sedia ada yang enggan bekerjasama dengannya mempunyai pilihan untuk melepaskan jawatan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan bertemu dengan kesemua anggota exco esok untuk menanyakan pendirian mereka sama ada hendak menyertai pentabiran kerajaan negeri sedia ada ataupun sebaliknya.

Mengenai pemecatannya daripada PKR berkuat kuasa Sabtu lepas, Abdul Khalid berkata beliau tidak akan membuat apa-apa tindakan undang-undang berhubung perkara itu, namun beliau akan merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendapatkan penjelasan sama ada pemecatannya dibuat mengikut tatacara betul.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu berkata beliau akan mempertimbangkan tawaran PAS untuk menganggotai parti itu memandangkan beliau kini Adun bebas.

“Saya nak bersihkan diri saya daripada pelbagai tohmahan yang dibuat PKR sebelum buat apa-apa tindakan,” katanya.

Ditanya kemungkinan beliau akan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama 12 Adun Barisan Nasional (BN) setelah menganggotai PAS, beliau berkata soalan itu bersifat ‘hypothetical’ (andaian).

Berikutan perkembangan terbaharu pemecatan Abdul Khalid daripada PKR, 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor terdiri 15 Adun PAS, 15 Adun DAP, 13 Adun PKR, 12 Adun BN dan seorang wakil bebas.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger