Home » » Khalid kekal MB, dakwa dapat sokongan majoriti di DUN

Khalid kekal MB, dakwa dapat sokongan majoriti di DUN

Written By Berita Setiap Hari on Monday 11 August 2014 | 03:44


SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor selepas beliau memberitahu baginda bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoiriti dalam DUN Selangor.

Khalid juga membayangkan EXCO kerajaan negeri akan hanya merangkumi empat wakil PAS setelah pucuk pimpinan parti itu menyatakan sokongan untuk beliau kekal sebagai MB.

Adalah dijangka tiga wakil EXCO masing-masing daripada PKR dan DAP akan berundur kerana parti mereka tidak setuju beliau terus memegang jawatan itu.

Khalid tidak menghuraikan rasional dakwaannya mempunyai sokongan majoriti dalam DUN namun akur ia menjadi kunci menyakinkan Sultan Selangor untuk mengekalkan beliau sebagai MB dalam pertemuan mereka pagi tadi.

"Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai ahli PKR, saya masih memperolehi  kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri. Justeru DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan untuk saya terus memegang jawatan sebagai MB Selangor," kata beliau dalam satu kenyataan.

"Sehingga ada perkembangan terbaru, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa," tambah Khalid.

Perkembangan terbaru itu dipercayai merujuk kepada pendirian rasmi PAS mengenai kedudukan Khalid sebagai MB dan sama ada PKR dan DAP mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau.

Khalid berkata beliau tidak memohon perkenan Sultan Selangor untuk mengadakan sidang khas DUN bagi usul itu.

"Tidak perlu sidang dewan khas sebab Tuanku tanya sama ada saya inginkan sidang dewan khas. Yang nak sidang khas bukan saya," kata beliau.

Khalid berkata terpulang kepada mana-mana pihak untuk "menguji" sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti di DUN Selangor.

"Terpulang untuk pihak lain untuk menguji sama ada MB mempunyai sokongan majoriti. Mereka kena ikut proses dan jika keputusan ialah saya tidak mempunyai sokongan majoiriti, saya harus mendapat perkenan untuk berjumpa semula dengan Sultan.  

Jawatankuasa Pusat PAS bermesyuarat Ahad depan untuk membuat pendirian rasmi sungguhpun PAS Selangor dan pucuk pimpinan parti itu sudah pun membuat kenyataan mahu Khalid dikekalkan sebagai MB.

PAS mempunyai 15 wakil dalam DUN Selangor.  Khalid juga mengharapkan sokongan Barisan Nasional yang mempunyai 12 ADUN.

PKR yang mempunyai 13 ADUN di sokong oleh  DAP (15 ADUN) untuk  Khalid digantikan dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengenai pembentukan Exco kerajaan negeri, Khalid berkata perlembagaan negeri memperuntukan minima empat orang dilantik untuk membentuk kerajaan negeri itu, justeru empat wakil PAS Selangor mencukupi.

"Untuk bertindak adil, saya akan ambil peluang bertemu Exco dengan wakil exco yang ada sekarang untuk bertanyakan kesediaan mereka dalam mengendalikan mesyuarat exco Selangor,"  kata Khalid.

"Boleh jadi saya nasihati mereka untuk tidak menjadi Exco," kata Khalid.
--anatarapost
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger