Home » » PAS tak kisah jika terpaksa keluar Pakatan, kata Dewan Ulama

PAS tak kisah jika terpaksa keluar Pakatan, kata Dewan Ulama

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 10 August 2014 | 17:27


Dewan Ulama PAS Pusat hari ini senada dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersedia jika parti Islam itu ditakdirkan keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) berikutan pendapat yang berbeza mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pemangku ketua dewan berkenaan, Datuk Ahmad Yakob berkata mengikut sejarah, parti itu sendiri pun pernah berjuang bersendirian selepas keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) dan juga pakatan pembangkang bersama Semangat 46.
"Seandainya kita (PAS) bersendirian kita terima. Ini sejarah-sejarah yang disebut oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Laluan PAS ini bukan mudah.
"Keputusan Majlis Syura Ulama PAS membuat ketetapan mengenai keputusan itu. Ia  merujuk kepada lunas-lunas perlembagaan semasa membuat keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Kota Baru.
Dua hari lalu, dalam kenyataan bersama Nik Abdul Aziz dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, Majlis Syura Ulama PAS menegaskan Khalid tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan beliau disingkirkan.
Semalam keadaan politik di Selangor semakin memuncak apabila PKR memecat Khalid daripada parti itu berkuat kuasa serta merta setelah didakwa mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat memilih Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.
Mengulas isu yang sama, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata PAS bagaimanapun mahu melihat isu itu diselesaikan dengan baik dan menafikan keadaan politik itu menyebabkan perpecahan dalaman PR.
"Tidak seperti itu. Ini suatu yang memberi kematangan dalam berpolitik dan saya minta biarlah semuanya bertenang dan mencari jalan keluar terbaik.
"Kalau Dewan Undangan Negeri dibubarkan pun ia ada masalah juga," katanya.
Ketika ditanya sama ada perlu Khalid menyertai PAS berikutan beliau kini merupakan anggota DUN Bebas, Ahmad berkata ia sebenarnya terpulang kepada Khalid sendiri untuk membuat keputusan.
"Itu terpulang dan perkara itu kita tak boleh komen kerana itu adalah hak dia," katanya. – Bernama, 10 Ogos, 2014.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger