Home » » Untung Nasib Khalid Diketahui Hari Ini

Untung Nasib Khalid Diketahui Hari Ini

Written By Berita Setiap Hari on Monday 25 August 2014 | 17:21


Shah Alam –  Kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bakal diketahui hari ini selepas beliau mendapat perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pukul 2.30 petang ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang berkata, pertemuan bagi menjelaskan perkembangan terkini krisis Menteri Besar itu akan berlangsung di Istana Kayangan, Seksyen 12.

Sebelum ini,  Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti ekoran tindakan menteri besar itu yang enggan meletak jawatan. Anggota MPP, Datuk Tan Kee Kwong mengumumkan keputusan tersebut berkuatkuasa serta merta.

Selain itu, MPP juga mengambil kira perkembangan berikut:

• Khalid mengingkari keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat agar menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2, dan menagguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan ADUN negeri Selangor

• Khalid gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor

• Khalid berkeras meneruskan projek lebuh raya Kidex walaupun PKR mengarahkan beliau mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat

• Khalid gagal menjelaskan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

Bagaimanapun, Khalid menggangap keputusan PKR yang memecat keanggotaan beliau daripada parti adalah “salah dan cacat dari segi undang-undang”. Mungkin juga berlaku “sabotaj” terhadap dirinya.

Namun, Khalid mendapat restu dari Tuanku Sultan Selangor  selepas membuat satu pertemuan dan dibenarkan untuk terus mengekalkan jawatan sebagai Menteri Besar. Tuanku Sultan juga bertitah supaya Khalid menunggu sehingga satu tarikh yang akan diberikan keputusan tentang kedudukannya.

“Sehingga isu ini diselesaikan mengikut prosedur yang betul, mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri, saya akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai menteri besar mengikut kemampuan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger