Home » » Remaja dicekup curi tabung masjid

Remaja dicekup curi tabung masjid

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 10 September 2014 | 22:10


PASIR MAS - Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, itulah nasib yang menimpa seorang remaja berusia 15 tahun apabila dia dicekup ketika cuba mencuri duit tabung Masjid Mukim Kasar di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, remaja tersebut dipercayai masuk ke dalam masjid berkenaan dengan memanjatnya melalui pintu pagar belakang dengan bantuan dua lagi rakannya.

Bagaimanapun, dua rakannya berjaya melarikan diri selepas remaja tersebut ditangkap.

Ketua keselamatan, ahli jawatankuasa Masjid Mukim Kasar, Rahim Wan Samad berkata, remaja tersebut melakukan perbuatan itu bersama dua lagi rakannya.

“Beberapa hari lepas duit tabung masjid telah dicuri dan kami selaku ahli jawatankuasa mengambil keputusan untuk berjaga di dalam masjid bagi menangkap pencuri kerana menjangkakan mereka akan datang kembali untuk melakukan perbuatan terkutuk ini.

“Apa yang kami fikirkan benar-benar berlaku apabila pagi tadi (semalam) remaja ini bersama dua rakannya datang untuk mencuri sekali lagi,” katanya.

Menurutnya, dia bersama dua lagi rakan bersembunyi di bawah tangga dan menangkap remaja tersebut ketika dia menuruni tangga mimbar masjid.

Katanya, remaja itu menyelinap ke dalam masjid untuk membuka pintu bagi membolehkan dua lagi rakannya yang tunggu di luar masuk.

Rahim berkata, dia dan rakannya sempat bergelut dengan remaja tersebut selama lima minit sebelum berjaya menangkapnya.

“Selepas itu kami mengurungnya di dalam bilik stor menunggu masuk Subuh sebelum diserahkan kepada pihak polis pagi tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata, kejadian mencuri duit tabung sudah beberapa kali berlaku di masjid tersebut dan suspek dipercayai menggunakan dawai serta lidi bagi ‘memancing’ duit.

“Masjid ini sangat aktif dengan bermacam aktiviti keagamaan dan mempunyai ramai jemaah tempatan serta orang dari luar kawasan.

“Disebabkan itulah tabung masjid berjaya mengumpulkan jumlah yang besar hasil dari sumbangan jemaah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.
--SINAR
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger