JOHOR BAHRU – Seramai empat wanita warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri dalam Ops Sayang di sebuah pusat refleksologi di Taman Nusa Bestari, di sini kelmarin.
Ketua Bahagian Penguatkuasa, Masri Adul berkata, kesemua wanita warga China berusia 33 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Kharulanuar Abu Bakar kira-kira jam 5.35 petang.
“Bertindak atas aduan awam, saya mengarahkan empat anggota ke lokasi dan menyamar sebagai pelanggan.
“Selepas mendapat maklumat dari pegawai yang menyamar, saya terus ke lokasi. Setibanya di lokasi aduan yang telah memanggil penghuni dari luar pintu besi premis.
“Tidak lama kemudian hadir seorang lelaki dewasa membuka pintu dan pemeriksaan dilakukan selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan imigresen,” katanya di sini semalam.
Masri berkata, hasil pemeriksaan empat wanita warga China ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dua daripada wanita ini ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam sebuah bilik di bahagian belakang dalam premis. Seorang lagi ditahan bersama pegawai yang menyamar ketika sedang mengurut.
“Manakala baki seorang lagi wanita ditahan ketika bersembunyi di dalam sebuah mesin basuh yang ditutup dengan beberapa tuala berwarna putih dalam sebuah stor,” katanya.
Beliau berkata, kesemua wanita terbabit mempunyai nombor pekerja tersendiri yang tercatat di dalam rekod perniagaan pusat refleksologi terbabit.
Katanya, mereka ditahan di bawah Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Turut ditahan seorang lelaki berusia 44 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya, lapor Sinar Harian.