Selepas Guan Eng, Anwar pula mohon maaf daripada Sultan Selangor
Written By Media Baru Besut on Tuesday, 9 September 2014 | 06:16
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon ampun daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selepas sekutunya dari DAP, Lim Guan Eng berbuat demikian menerusi satu kenyataan pagi tadi.
"Merujuk kepada kenyataan media istana Selangor yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan semalam, pihak kami akan terus merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan seandainya keputusan kami mematuhi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan amalan (“convention”) sejak 1957 menyebabkan terguris perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Anwar bagaimanapun mempertahankan tindakannya dalam mengemukakan hanya satu nama kepada Sultan, sambil mengatakan bahawa amalan yang sama telah dipraktikkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi memilih calon untuk jawatan Ketua Menteri, Menteri Besar atau Perdana Menteri.
Katanya amalan itu telah pun dipraktikkan sejak zaman kemerdekaan lagi di mana Umno dan BN hanya mengemukakan satu nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen untuk jawatan-jawatan tersebut.
"Keadilan mengulangi pendirian untuk menjunjung kedaulatan Raja-raja Melayu, dan institusi raja berperlembagaan. Ini juga telah ditegaskan dalam warkah-warkah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Keadilan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor," kata Anwar lagi.
Sementara itu, Anwar membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak atas kenyataannya yang dibuat semalam yang didakwanya 'menafikan' pendirian PKR dalam menjunjung kedaulatan undang-undang dan sistem raja berperlembagaan.
Tegas beliau, Najib sepatutnya jujur dengan pendirian parti dan tidak mengkritik PKR kerana mematuhi amalan yang sama.
Semalam, Istana Selangor mengeluarkan sebuah kenyataan yang meluahkan rasa kecewa dan dukacita Sultan Selangor terhadap PKR dan DAP yang mengingkari arahannya.
"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani.
Munir berkata, Sultan Selangor akan meneliti senarai calon yang dikemukakan PAS, PKR, dan DAP dan mengambil kira segala aspek sebelum keputusan dibuat.
Setakat ini, hanya PAS akur dengan titah Tuanku untuk mencadangkan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.
PAS, melalui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dikatakan telah menghantar tiga nama anggota exco kerajaan negeri Selangor daripada parti itu, sebagai calon untuk jawatan tertinggi pentadbiran Selangor.
Bagaimanapun, selepas berlaku sedikit kekecohan dalaman PAS, Hadi dilaporkan menghantar surat kedua kepada Sultan Selangor dan menamakan dua Adun PKR dan seorang daripada PAS.
Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar yang baharu.
Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Khalid sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan Menteri Besar baharu selesai.
PKR dan DAP, bagaimanapun, sehingga kini kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar yang baharu.
Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/selepas-guan-eng-anwar-pula-mohon-maaf-daripada-sultan-selangor-43610?cp
Share this article :
Labels:
Politik