Home » » Indonesia umum pengurangan subsidi bahan api sehingga 30 peratus

Indonesia umum pengurangan subsidi bahan api sehingga 30 peratus

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 18 November 2014 | 01:55


JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo lewat malam tadi mengumumkan pengurangan ketara subsidi bahan api di Republik itu, satu tindakan yang dilihat berisiko dan satu langkah tidak popular dalam usahanya untuk mengatasi masalah kewangan negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

Joko mengumumkan harga bahan api petrol dan diesel akan meningkat sehingga 30 peratus bermula malam tadi, pemotongan subsidi yang tinggi, satu langkah yang dialu-alukan oleh pakar ekonomi tetapi dilihat mencalar populariti presiden yang baru dilantik itu.

“Dari masa ke semasa, sesebuah negara perlu membuat pilihan sukar – namun, kita (kerajaan) harus membuat keputusan ini,” kata Joko dalam satu siaran televisyen.

Subsidi bahan api sememangnya menjadi duri dalam daging di Republik itu. Pakar ekonomi telah lama menggesa langkah pengurangan subsidi yang menelan belanja besar dalam belanjawan negara itu namun sebahagian besar rakyat tidak bersetuju dengan langkah itu.

Pemotongan subsidi sebelum ini termasuk yang terbesar tahun lalu telah mengakibatkan bantahan dan tunjuk perasaan.

Sedikit bantahan dilaporkan berlaku di Makasar, namun keadaan di seluruh negara itu rata-ratanya dilaporkan tenang sehingga malam tadi.

Sementara itu penganalisis memuji langkah Joko itu yang dilihat memenuhi janji untuk mengurangkan subsidi bagi membolehkan wang negara digunakan bagi tujuan reformasi ekonomi Republik itu dan membantu golongan miskin.

Langkah itu juga dilihat perlu bagi meningkatkan ekonomi negara itu yang perlahan sejak lima tahun lalu, dengan KDNK Indonesia mencatatkan angka 5.01 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Harga petrol di Republik itu meningkat sebanyak 2,000 rupiah (RM0.55) kepada 8,500 rupiah (RM2.33)  seliter, peningkatan hampir 30 peratus sementara harga diesel meningkat 2,000 rupiah (RM0.55) kepada 7,500 rupiah (RM2.10) seliter peningkatan hampir 35 peratus.

“Negara memerlukan belanja untuk infrastruktur, pelajaran, dan kesihatan. Perbelanjaan ini tidak dapat diperuntukkan kerana terbazir oleh subsidi bahan api,” kata Joko.

Joko turut mengumumkan akan ada dasar-dasar perlindungan untuk golongan miskin, merujuk kepada skim kerajaan yang mensasarkan pemberian wang tunai untuk golongan itu bagi mengimbangi peningkatan harga bahan api.

Pemotongan subsidi itu adalah kurang dari yang dijangkakan sesetengah pihak. Kesan kejatuhan harga minyak mentah dunia juga dilihat membantu kedudukan kewangan kerajaan.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/indonesia-umum-pengurangan-subsidi-bahan-api-sehingga-30-peratus-48638?cp
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger