Home » » Pasma kekal NGO, pantau Harapan Baru

Pasma kekal NGO, pantau Harapan Baru

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 21 July 2015 | 05:57


SHAH ALAM – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) akan kekal sebagai sebuah NGO dan mahu menjadi ejen semak dan imbang kepada parti Islam baharu yang dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menegaskan, pihaknya mahu memastikan parti politik pengganti kepada Pas itu menunaikan semua janji dalam meneruskan agenda kerjasama politik parti pembangkang dalam Pakatan 2.0 nanti.

“Kita akan terus berperanan (seperti dalam Pas dulu) untuk membuat semak dan imbang bagi menubuhkan Pakatan baharu. Matlamat akhir kita bukan saja parti baharu, bahkan tubuhkan gabungan Pakatan baharu, itu matlamat utama kita.

“Setakat ini, saya masih mempunyai kecenderungan untuk kekal sebagai NGO, sebab saya sudah lama dalam politik ini, kecuali diperlukan sangat...kita berperanan sebagai semak dan imbang untuk pastikan Harapan Baru menunaikan janji,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Pasma tidak menolak kemungkinan bahawa satu parti baharu perlu diwujudkan bagi menggantikan PR selepas gabungan parti pembangkang itu terbubar selepas Muktamar Pas Pusat memutuskan hubungan dengan DAP.

Phahrolrazi berkata, parti itu bagaimanapun perlu dibentuk sebagai entiti lain dan bukannya dari Pasma sendiri sekiranya terdapat keperluan ke arah itu.

Bagaimanapun selepas pemimpin progresif Pas atau G18 mengumumkan penubuhan parti Islam baharu itu, nama Phahrolrazi tidak tersenarai dalam jawatankuasa tertinggi entiti itu, sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa pemimpin Pasma itu dipinggirkan.

Dalam pada itu, Phahrolrazi juga berkata beliau tidak menghalang mana-mana pemimpin muda dalam Pasma untuk menganggotai pucuk pimpinan Harapan Baru di semua peringkat sama ada negeri mahupun Parlimen.

 “Bagi ahli-ahli Pasma yang masih muda lagi, segelintirnya mungkin ke parti politik baharu ini...saya tidak fikir kita semua akan masuk ke politik arus perdana dalam parti baharu ini.

 “Saya sendiri tak pergi masuk dalam politik di arus perdana sebab saya sudah jadi wakil rakyat sudah lama, hampir 40 tahun, sebab usia saya sekarang sudah tak upaya lagi bergerak cergas macam orang muda ke hulu ke hilir, tak mampu sangat,” ujarnya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger