Warga emas terima rumah baharu
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 15 August 2015 | 20:27
JERTIH - Seorang warga emas yang mengalami masalah penyakit Parkinson, Yusof Awang, 78, berkongsi kegembiraan dengan isterinya, Mek Jah Taib, 64, apabila mereka menerima sebuah rumah sumbangan Bank Rakyat.
Pasangan itu yang selama ini tinggal di rumah kayu yang sudah agak uzur di Kampung Gaung di sini, amat gembira apabila menerima rumah yang dibina sepenuhnya oleh institusi perbankan itu dengan harga RM45,000.
Menurut Mek Jah, walaupun rumah diterima bukan banglo mewah tetapi bagi insan tidak berkemampuan sepertinya, dia amat bersyukur dengan rumah yang diterima kerana sebelum ini dia tidak termimpi untuk memiliki rumah sedemikian yang lengkap dengan perabot dan kipas angin.
“Selama ini kami tinggal dua keluarga dalam satu rumah kerana seorang anak makcik yang berkeluarga menumpang tinggal bersama di rumah asal.
“Tetapi apabila menerima rumah ini, keadaan semakin selesa kerana makcik dan pakcik akan tinggal di rumah baru pemberian Bank Rakyat, manakala anak makcik tinggal di rumah asal,” katanya selepas menerima kunci rumah yang diserahkan Pengurus Bank Rakyat
Cawangan Jertih, Ibrahim Harun.
Hadir sama, wakil Adun Hulu Besut, yang juga Timbalan Penyelaras Dun Hulu Besut, Hasmadi Hassan.
Kata Mek Jah lagi, dia sekeluarga menerima berita gembira akan menerima sebuah rumah, seminggu selepas umat Islam berpuasa pada Ramadan lalu.
“Kami rasa seperti dapat kehidupan baharu apabila menerima penyerahan kunci hari ini sebab rumah pusaka ini turut dikongsi 10 lagi ahli keluarga membabitkan anak lelakinya berumur 23 hingga 34 tahun termasuk cucu-cucu,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, rumah tersebut merupakan rumah kedua yang dibina Bank Rakyat menerusi sumbangan wang zakat perniagaan bank untuk fakir miskin di daerah ini pada tahun ini.
Katanya, rumah pertama yang dibina bank berkenaan ialah di Kampung Gong Nangka, sebelum ini membabitkan kos yang sama.
Share this article :
Labels:
Semasa