Home » » 'Cabaran besar buat kerajaan'

'Cabaran besar buat kerajaan'

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 26 October 2016 | 06:19


KUALA TERENGGANU - Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin, disifatkan cabaran besar kepada kerajaan dalam keadaan kewangan negara dalam keadaan tidak menentu.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad seolah-olah enggan mengakui kenyataan Najib bahawa ekonomi negara ketika berkembang secara mampan.

Sebaliknya, Raja Bahrin menjelaskan bahawa bajet tersebut menyerlahkan sikap kerajaan yang tidak mahu berterus-terang terhadap keadaan sebenar kewangan negara.

“Bajet ini menunjukkan sikap kerajaan yang tidak mahu lagi berterus terang dengan rakyat keadaan kewangan negara sebenarnya seperti yang Tun Mahathir kata sebelum pembentangan bajet iaitu di manakah kerajaan akan mencari wang sebegitu banyak untuk melaksanakan sebahagian daripada projek-projek yang dihajatkan kerana realitinya kerajaan kesuntukan wang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau turut mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat yakin membentangkan bajet bernilai RM260.8 bilion sedangkan pihak terlibat didakwanya masih mencari-cari dana daripada sumber-sumber tertentu untuk menampung bajet tersebut.

“Kerajaan dalam proses mencari-cari lagi sumber tetapi sudah membentangkan bajet seolah-olah kerajaan tidak ada apa-apa masalah dan kita jangka kerajaan mungkin mengumumkan satu kempen untuk menjimatkan perbelanjaan tetapi kita tidak mendengar apa-apa pun.

“Dulu pun ada kerajaan membuat gesaan konvensyen, seminar tidak lagi diadakan di hotel-hotel lima bintang. Pegawai kerajaan jangan lagi bermewah-mewah. Penerbangan kelas pertama dan kelas bisnes minta dikurangkan, jangan pergi lagi ke hotel lima bintang tetapi kita tidak dengar gesaan ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perbelanjaan berhemah merangkumi semua segmen rakyat, beliau memberitahu bahawa kerajaan perlu terlebih dahulu melaksanakan perbelanjaan berhemah di peringkat pegawai atasan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan perlu menunjukkan contoh kepada rakyat sebelum meminta rakyat melaksanakan perbelanjaan berhemah bagi meningkatkan penjimatan perbelanjaan kerajaan.

“Tetapi yang kena berkorban masih lagi hanya rakyat. Rakyat boleh berkorban tetapi pihak berkuasa di atas mesti juga menunjukkan mereka sedia berkorban dan menanggung kesempitan bersama rakyat,” katanya.

Realitinya, beliau berkata, kerajaan masih lagi di awang-awangan seperti tiada masalah dalam isu penyelesaian ekonomi yang bukan hanya masalah negara tetapi global.

Sehubungan itu, pihaknya turut menuntut kerajaan lebih realistik dalam mendepani cabaran ekonomi semasa dengan menunjukkan contoh yang baik terlebih dahulu serta berjimat cermat dalam cara mereka bergerak dan berbelanja.

“Ini tidak ditunjukkan. Bagaimanapun kerajaan boleh dikatakan berjiwa rakyat kerana mereka hendak hidup seperti biasa seolah-olah tidak ada perubahan dalam situasi ekonomi sementara rakyat sahaja yang menanggungnya,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger