Perompak guna 'pistol' rampas RM15,000
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 5 November 2016 | 06:57
BESUT – Seorang peniaga kedai runcit dan makanan sejuk beku kerugian RM15,000 apabila disamun seorang lelaki yang menggunakan 'pistol', lewat petang semalam.
Kejadian berlaku di rumahnya di kampung Alor Lintang, di sini menjadi viral di laman sosial sejak semalam berikutan tindakan berani suspek yang dikatakan menggunakan 'pistol'.
Mangsa Azulhan Che Yusof, 46, yang ditemui pemberita hari ini berkata dia tidak pasti sama ada 'pistol' yang digunakan palsu atau tidak kerana kejadian itu membuatkannya tergamam tanpa sempat berbuat apa-apa.
"Suspek yang memakai topi keledar sebelum itu cuba memaksa isteri saya menyerahkan wang di hadapan pintu masuk rumah dengan menghalakan 'pistol' ke leher.
"Suspek kemudiannya menerkam saya dan minta serahkan semua wang berjumlah RM15,000 di dalam beg pinggang saya sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis EX5 yang diletakkan tidak jauh dari rumah dan memberi amaran akan 'menembak' sesiapa yang cuba mengejarnya," katanya.
Mangsa mengakui tidak sempat memanggil jirannya untuk membantu kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
Anak perempuan mangsa (21 tahun) yang berada di dalam rumah bagaimanapun berjaya menyusup keluar menerusi pintu belakang untuk memanggil bapa saudaranya tetapi setiba di tempat kejadian, suspek telahpun melarikan diri.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan yang dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut.
Kamsani berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak. - Bernama
Share this article :
Labels:
Edisi Timur,
Jenayah