Home » , » Ditipu penyangak siber

Ditipu penyangak siber

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 26 October 2016 | 05:58


KAMPUNG RAJA - Seorang doktor wanita sebuah klinik swasta di Bandar Jertih mendakwa kerugian RM29,800 selepas mengemas kini akaun bank miliknya secara online pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa berusia 52 tahun yang menetap di Jertih itu menerima mesej melalui emel mendakwa daripada sebuah bank yang mengarahkannya mengemas kini akaunnya pada hari tersebut.

Menurutnya, mangsa kemudiannya mengikut arahan yang diberikan menerusi laman web termasuk memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) seperti yang diminta.

“Pengadu telah klik pada link (rangkaian) yang diberikan termasuk memberikan nombor TAC, namun mangsa mendapati wang daripada akaunnya berjumlah RM29,800 telah dipindahkan ke akaun sebuah bank lain atas nama Jacenta@Ja setelah mengemas kini akaun itu.

“Mangsa bertindak demikian kerana percaya kepada arahan itu yang memberitahu dia juga akan turut memperoleh sejumlah wang selepas mengemas kini akaun tersebut kerana kebetulan mangsa sedang menunggu wang daripada pihak tertentu,” katanya,

Mohd Zamri berkata, siasatan terperinci dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(3) Akta Jenayah Komputer 1997.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang guru wanita berusia 43 tahun kerugian RM48,250 akibat ditipu kenalan di laman sosial Facebook awal bulan ini.

Mohd Zamri berkata, guru yang menetap di Jalan Keluang itu mendakwa hanya menyedari dirinya ditipu setelah melakukan transaksi sebanyak 11 kali ke dua akaun bank berbeza bermula 11 hingga 16 Oktober lalu.

“Suspek kononnya meminta bantuan mangsa agar memasukkan ke dalam dua akaun bank atas nama Mohd Faisa Fauzi dan R Umadewi dengan alasan untuk membuka kad ATM di sebuah bank di Miri, Sarawak pada 11 Oktober lalu.

“Akibat terlalu percayakan kenalannya dan tidak mengesyaki ditipu, guru berkenaan telah memenuhi permintaan suspek dengan memasukkan wang melalui transaksi ke dalam akaun tersebut melalui sebuah bank di Jertih,” katanya.

Beliau berkata, malangnya usaha mangsa menghubungi suspek selepas itu untuk mendapatkan semula wang tersebut menemui jalan buntu dan mangsa mengesyaki telah ditipu oleh kenalan alam maya yang tidak pernah ditemuinya itu.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berikutan dua kes berkenaan, Mohd Zamri meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan permintaan pihak yang tidak dikenali melalui media sosial atau arahan daripada telefon atau emel bagi mengelakkan daripada ditipu.

Katanya, jika menerima sebarang arahan supaya mengemaskinikan akaun, pemilik akaun dinasihatkan mendapatkan pengesahan daripada bank sebelum melakukan sesuatu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger