Home » , » Muara Kuala Besut cetek

Muara Kuala Besut cetek

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 26 October 2016 | 06:10

Bot Kelas C yang sebahagian besar badannya tenggelam tengahari kelmarin sebelum ditarik ke tepi pantai.

KUALA BESUT- Sebanyak lima bot nelayan termasuk tiga sampan terkandas dan karam dalam tempoh seminggu bermula Isnin minggu lepas hingga semalam berpunca daripada masalah muara Kuala Besut cetek.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut, Tengku Harun Tengku Ismail berkata, dua buah bot nelayan karam dan sebuah lagi terkandas dalam kejadian dua hari berturut-turut kelmarin dan semalam.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12 tengahari kelmarin membabitkan sebuah bot pukat jerut (bot kelas C) pecah di bahagian bawah perut bot selepas terlanggar beting pasir di muka muara tersebut ketika ingin keluar menangkap ikan.

“Kesemua 24 awak-awak termasuk seorang pembantu tekong terselamat apabila mereka sempat menyelamatkan diri dengan menaiki sampan ke daratan sebelum bot tersebut karam.

“Kejadian hari ini (semalam) pula membabitkan bot nelayan kelas A terkandas di beting pasir betul-betul di hadapan muara ketika ingin memasuki muara untuk mendaratkan ikan. Bot kedua ini juga mungkin terbalik dan karam kerana tidak dapat bergerak selain dimasuki air,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terpaksa guna laluan sempit

Tengku Harun berkata lagi, dalam kejadian Isnin lalu sebuah sampan nelayan pantai mengalami kerosakan selepas bergesel dengan bot lain manakala pada Khamis pula sebanyak dua buah sampan berlanggar menyebabkan salah sebuah karam.

Menurutnya, kejadian ini disebabkan kesemua bot yang ingin masuk atau keluar daripada muara tersebut menggunakan laluan sama yang sempit untuk mengelak terlanggar beting pasir.

“Sekarang hanya terdapat satu alur atau laluan (lorong) sempit sahaja yang boleh dilalui bot untuk masuk dan keluar muara. Semua bot akan menggunakan laluan itu tanpa boleh melakukan kesilapan.

“Keadaan akan menjadi lebih bahaya sepanjang musim tengkujuh ini apabila ombak besar menyebabkan penglihatan pemandu bot terhad,” katanya.

Tengku Harun berkata, setakat ini kesemua mangsa terlibat bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun kehilangan nyawa.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger