Ibu tunggal hilang pendapatan setelah alami strok
Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 18 December 2016 | 15:34
TELOK AIR TAWAR - Seorang ibu tunggal hanya mampu terbaring lemah di katil akibat mengalami strok menyebabkan dirinya kini tidak mampu mencari rezeki untuk menyara hidup di Flat Taman Air Tawar Indah di sini.
Jika dahulu, Jamillah Hamzah,45, berniaga membuat roti jala secara kecil-kecilan dan mengambil upah mengasuh kanak-kanak sebagai pendapatan tetap untuk dirinya serta anak tunggalnya.
Biarpun tidak sebanyak mana, namun pendapatan yang diperolehi itu cukup makan untuk mereka berdua.
Namun, semuanya bagaikan sekelip mata berubah apabila si ibu tunggal ini hanya mampu terbaring lemah akibat serangan strok pada minggu lalu.
Menceritakan mengenai keadaannya, Jamillah berkata apa yang dirisaukan adalah keadaan yang perlu ditempuhi dia dan anak perempuannya selepas ini.
"Sebelum ini, saya menjalankan perniagaan menjual makanan secara kecil-kecilan untuk menjana pendapatan, sambil itu, saya juga ambil upah mengasuh kanak-kanak.
"Bila dah jadi macam ini, risau juga, sebab saya perlu bayar rumah yang kami berdua diami ini sebanyak RM350 sebulan, dalam keadaan saya yang begini, memang saya tak mampu nak bekerja lagi, nak berjalan pun perlu ada orang yang papah, inikan pula nak bekerja," katanya kepada Sinar Harian.
Menceritakan saat-saat dirinya terkena serangan strok ini, katanya, pada mulanya dia keluar bersama rakan untuk menghantar kereta kepada saudaranya.
"Masa dalam kereta dengan kawan tu, saya rasa lain macam, rasa pening dan tak larat, jadi saya minta kawan hantar saya pulang ke rumah.
"Jadi bila sampai tu saya terus rehat, lepas tu langsung saya tidak sedar apa yang berlaku, sedar-sedar sahaja saya berada di wad hospital," katanya.
Menurutnya, dirinya merasakan amat tidak berdaya untuk menggerakkan tangan serta kaki di bahagian kiri badannya.
Nasib yang dialami Jamillah bagaimanapun mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Seberang Perai Utara yang hadir menziarahi keluarga ini.
Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Seberang Perai Utara Khairul Zaim A. Halim berkata pihaknya akan meneliti serta mempertimbangkan bantuan yang sesuai untuk keluarga ini.
"Dalam lawatan ini, difahamkan Jamillah selama ini menyara pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan, dan pada masa luangnya digunakan untuk mengasuh kanak-kanak, dan difahamkan dengan apa yang menimpa Jamillah ini menyebabkan beliau kini tidak lagi dapat menyara hidup dia dan anaknya.
"Untuk kes ini, pihak JKM akan meneliti serta mempertimbangkan bantuan yang sesuai untuk Jamillah," katanya.
Share this article :
Labels:
Edisi Utara,
Semasa