Home » , » KPDNKK rampas petrol, diesel subsidi

KPDNKK rampas petrol, diesel subsidi

Written By Gaha Belako on Thursday, 22 December 2016 | 16:09


PADANG BESAR - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas sebanyak 2,800 liter petrol dan diesel bersubsidi bernilai RM5,500 hasil serbuan di dua rumah di Kampung Melayu di sini, hari ini.

Ketua Penguatkuasanya Jamal Nor Ahmad Haron berkata serbuan pada kira-kira 7.30 pagi itu dibuat hasil risikan selama dua minggu mengenai kegiatan sekumpulan lelaki yang mengumpul bahan bakar berkenaan yang dibeli di sekitar Padang Besar.

"Bahan bakar yang dikumpul itu dipercayai diseludup ke negara jiran dengan cara menjual kepada kenderaan tertentu yang datang ke premis tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Jamal Nor semasa serbuan, turut ditemui ialah stor penyimpanan minyak di kedua-dua rumah tersebut yang tidak bernombor.

Dalam serbuan pertama, KPNKK menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga penjaga stor premis berkenaan dan menemui 1,700 liter minyak petrol dalam tangki plastik dan tong di belakang rumah, katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku sejak sebulan lalu. Jamal Nor berkata satu set jentera penyedut minyak turut dirampas di premis tersebut.

Sementara itu, dalam serbuan di sebuah lagi rumah berhampiran, sebanyak 1,100 liter minyak diesel bernilai RM2,500 ditemukan.

"Bagaimanapun tiada penghuni masa serbuan dibuat," katanya.

Menurut Jamal Nor rumah kedua tersebut pernah diserbu oleh KPDNKK Perlis beberapa tahun lepas kerana menjalankan kegiatan sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger