Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat. |
SUNGAI PETANI - Mayat seorang lelaki yang tergantung di tingkap disangka penceroboh yang memasuki sebuah rumah usang, dekat Taman Angsana Sari, di sini, kira-kira jam 9 pagi semalam.
Saksi kejadian, Rozaidi Ramli, 40-an, berkata, dia ketika itu sedang menjolok buah nangka di halaman rumah yang terletak bersebelahan lokasi kejadian, sebelum menyedari seolah-olah ada kelibat mengawasi pergerakannya.
“Masa saya panjat tangga nak jolok nangka, saya nampak ada orang di tingkat atas. Disebabkan terkejut, saya terus menyergah sebab bimbang rumah tidak berpenghuni itu sering didatangi penagih untuk hidap dadah.
“Bila jerit banyak kali, orang tu langsung tak beri tindak balas dan bergerak,” katanya.
Menurut Rozaidi, disebabkan curiga, dia terus melaporkan kejadian kepada ketua pemimpin di kawasan berkenaan, sebelum disarankan membuat laporan polis berhubung kejadian.
Bagaimanapun, pasukan polis yang membuat pemeriksaan di lokasi kejadian, menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tergantung di dalam bilik air, yang terletak di tingkat atas rumah usang dua tingkat terbabit.
Pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah motosikal dipercayai milik mangsa yang tersembunyi di sebalik semak-samun di halaman rumah usang terbabit, manakala di dalamnya terdapat tali dipercayai dibawa lelaki itu sendiri.
Mayat lelaki itu dibawa turun anggota polis dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat.