Home » , » Sepasang kekasih ditahan dipercayai miliki syabu

Sepasang kekasih ditahan dipercayai miliki syabu

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 18 December 2016 | 15:24


KOTA TINGGI - Polis menahan sepasang kekasih dan merampas dadah dipercayai syabu di sebuah rumah di Jalan Sungai Siput, Kota Kecil di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, penahanan dilakukan kira-kira 5.10 petang selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan dadah tersebut.

"Lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 33 tahun terbabit sedang berehat di sebuah bilik di rumah berkenaan ketika serbuan dilakukan.

"Pemeriksaan seterusnya di bilik itu menemui dua paket plastik lut sinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 3.7 gram dianggarkan bernilai RM700 yang disimpan di dalam beg kecil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rahmat berkata, kedua-dua suspek yang sudah bertunang dan tidak bekerja itu didapati positif dadah jenis Amphetamine.

Beliau berkata, kedua-duanya kini direman sehingga Selasa ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Dalam perkembangan lain, Rahmat berkata pihaknya turut menahan dua lelaki dan menemui dadah dipercayai syabu serta heroin seberat 2.7 gram di sebuah rumah di Lorong Mulia, Bandar Penawar, di sini, Khamis lepas.

Beliau berkata, kedua-dua mereka yang di bawah pengaruh dadah itu ditahan kira-kira 10.30 malam, di dalam bilik tidur di bahagian dapur rumah berkenaan selepas polis menerima aduan orang awam.

"Syabu dan heroin tersebut ditemui di atas lantai bilik berkenaan," katanya bahawa pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki tersebut tidak bekerja dan positif dadah jenis morfin.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit yang berumur 36 dan 37 tahun itu kini direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger