Home » » Surau tepi laut perlu perhatian

Surau tepi laut perlu perhatian

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 22 December 2016 | 16:03


MELAKA TENGAH - Terletak di tepi laut, Surau Selat Melaka di Taman Padang Temu Indah, di sini, kelihatan strategik dan pasti memberi ketenangan buat jemaah yang menunaikan ibadah.

Bagaimanapun, ketenangan itu pasti terganggu disebabkan keadaan surau berkenaan yang didakwa penduduk banyak kemudahan sudah rosak dan perlu diperbaiki segera.

Penduduk mendakwa, keseluruhan bangunan itu termasuk dinding, pagar, tandas dan beberapa kemudahan lain banyak terjejas disebabkan wap air masin, di samping masalah hakisan.

Pengerusi surau berkenaan, Fazli Sharil berkata, keadaan itu sudah berlarutan selama beberapa tahun dan ia menuntut tindakan pihak berkaitan untuk melihat dan memperbaikinya semula.

“Usia surau ini baru 10 tahun tetapi kami bimbang disebabkan masalah tersebut menyebabkan ia kelihatan uzur apabila beberapa bahagian pagar sudah roboh, pintu surau dan tandas pun sudah rosak serta berkarat,” katanya

Menurutnya, surau yang mampu memuatkan kira-kira 200 jemaah dalam satu-satu masa itu kerap menjadi tumpuan pelbagai program dan dihadiri ramai luar negara.

“Antara jemaah yang biasa mengunjungi surau ini termasuk dari Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, Australia, Jepun, China, Pakistan, Bangladesh, Mesir, Arab Saudi, Kuwait dan beberapa negara Asia Tenggara seperti Indonesia serta Thailand," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, seorang jemaah, Syed Muhammad Abdul Kadir, 47, berkata, keadaan pintu pagar yang rosak memudahkan pelbagai pihak tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan berkenaan.

“Akibat ketiadaan pagar ada pihak yang melakukan perkara tidak senonoh termasuk membuang najis mereka sesuka hati. Kami turut bimbangkan soal keselamatan anak-anak jemaah kerana pagar yang rosak mendedahkan mereka kepada bahaya ekoran terletak di tepi laut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian petang kelmarin mendapati kedudukan surau berkenaan yang terletak di tepi laut memang mendedahkan berlakunya keadaan sedemikian termasuk tempoh penahan ombak juga didapati sering berdepan dengan masalah hakisan.

Manakala, struktur bangunan yang diperbuat daripada besi seperti pagar dan pintu turut rosak.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger