Tercampak ke dalam longkang akibat kemalangan
Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 22 December 2016 | 15:59
NILAI - Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit mencari dan menyelamatkan seorang lelaki yang tercampak ke dalam longkang selepas lori dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah lori lain di selekoh jalan di hadapan kilang United More di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 petang itu, mangsa Khairul Azhar Mohd Ali,32, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihanyutkan arus deras sejauh 700 meter sebelum mayatnya ditemui.
Pegawai Bomba Kanan 2, dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu lori satu tan membawa muatan makanan segera dari arah Kolej Height menuju ke Semarak di sini.
"Namun difahamkan sebaik sampai di selekoh jalan berhadapan kilang itu, lori dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah lori 24 tan membawa muatan tanah sawit.
"Kejadian itu mengakibatkan lori terbabit berpusing dan terbalik manakala Khairul Azhar pula tercampak ke dalam longkang dibawa arus deras,"katanya.
Menurutnya, sebuah jentera dan Pasukan Perubatan dan Tindak Balas Perkhidmatan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dengan kekuatan anggota seramai lapan orang bergegas ke lokasi
Mohd Syazwan berkata, bomba mengambil masa kira-kira 20 minit mencari dan menyelamatkan mangsa yang dihanyutkan arus deras sejauh 700 meter dari lokasi kejadian.
"Mangsa didapati cedera teruk pada bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang membuat pemeriksaan.
"Pemandu sebuah lagi lori Ahmad Romdiahuddin Mohammad Jais,39, selamat dan tidak mengalami kecederaan. Difahamkan ketika kejadian itu dia dari arah Nilai 3 ke Semenyih, Selangor untuk menghantar muatan dibawa,"katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
-SINAR
Share this article :
Labels:
Edisi Melaka NS,
Kemalangan