Home » , » Jajahan Pasir Mas catat jumlah mangsa paling ramai

Jajahan Pasir Mas catat jumlah mangsa paling ramai

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 3 January 2017 | 21:57


KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan meningkat mendadak awal pagi ini kepada 9,643 orang berbanding 6,014 semalam.

Setakat jam 10 pagi ini,  portal e-Banjir Kerajaan Kelantan melaporkan 3,153 keluarga dipindahkan ke 83 pusat pemindahan di sembilan jajahan yang terlibat dengan banjir.

Jajahan Pasir Mas terus mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu sebanyak 5,410 mangsa terdiri daripada 2,088 keluarga  yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan.

Berikutan hujan lebat berterusan juga, dua lagi pusat pemindahan baharu dibuka bermula jam 9 pagi di jajahan Machang yang melibatkan 21 mangsa (tujuh keluarga) membabitkan penduduk dari Kampung Lubuk Mak Udang.

Sementara itu, dua sungai utama iaitu Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah  Merah masih melebihi paras bahaya iaitu, 17.56 meter (m), (bahaya 16m) dan Sungai Golok, Rantau Panjang mencatatkan bacaan 10.39m, (bahaya 9m).

Dua sungai merekodkan bacaan melepasi paras amaran adalah Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai, 22.69m di Tambatan DiRaja, Kota Bharu (4.13m, amaran 4m).

Selain itu, enam lagi laluan ditutup hari ini iaitu empat di Machang melibatkan  Jalan Kampung Pek-Paloh Rawa (ditutup kepada kenderaan ringan), Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata (tidak boleh dilalui semua kenderaan), Jalan Pangkal Meleret-Limau Hantu (ditutup kepada kenderaan ringan) dan Kampung Kemuning Sungai Merkam (hakisan tanah pada abutment jambatan).

Turut ditutup kepada semua kenderaan ialah di Pasir Mas, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang di kilometer tiga (Terowong Jambatan Sultan Yahya Petra) dan satu lagi di Tumpat, Jalan Cabang 4 Kampung Jambu/ Meranti (Kampung Jambu).

Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga iaitu hujan sekejap-sekejap, kadangkala lebat berterusan sehingga hari ini di beberapa kawasan di Pahang, Terengganu dan semua jajahan di Kelantan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger