Home » » Najib selesai bayar wang ikat jamin RM3.5 juta

Najib selesai bayar wang ikat jamin RM3.5 juta

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 27 September 2018 | 21:33



Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi 25 pertuduhan jenayah telah selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Hasil semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada jam 9 pagi, mendapati Najib, 65, telah selesai membayar wang jaminan itu.

Pada 20 Sept lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan wang jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin sementera kesnya selesai dan menetapkan 16 Nov untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar pada 21 Sept (Jumaat) dan RM500,000 setiap hari sebelum atau pada 28 Sept.

Pada 21 Sept lepas Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan telah membayar jaminan RM1 juta iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5juta itu.
Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Najib iaitu Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Najib pada 4 Julai lepas didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan pada 8 Ogos lepas, dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Okt.

- Bernama

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger