Home » » BERSATU Negeri Sembilan dibubar

BERSATU Negeri Sembilan dibubar

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 27 September 2018 | 08:30

PETALING JAYA: Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk membubarkan PPBM Negeri Sembilan dan 2 bahagian di Selangor, iaitu di Subang dan Ampang.

Muhyiddin berkata, keputusan itu diambil kerana terdapat masalah dalam kalangan pemimpinnya yang bertindak tidak mematuhi perlembagaan.

Keputusan membubarkan PPBM Negeri Sembilan dibuat hanya beberapa hari sebelum Pakatan Harapan (PH) meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon dalam pilihan raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Keputusan bubarkan PPBM Negeri Sembilan dibuat kerana ada banyak masalah. Dulu kita hanya lantik sahaja, kemudian baru sedar ada banyak masalah.


“Kita hadapi masalah, mereka buat sidang media merendahkan parti, lakukan ‘havoc’ sewaktu mesyuarat PH. Secara asasnya, masalah itu melibatkan masalah prinsip.

“Kita bubar yang lama, tubuh yang baru. Dalam masa beberapa hari akan ada PPBM baru. Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia cadangkan kepada kita untuk bubarkan. Jadi yang ada sekarang ini bubar,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.

Muhyiddin berkata, veteran politik Tan Sri Rais Yatim bersama setiausaha agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh dilantik untuk membantu menggerakkan penubuhan PPBM baharu di Negeri Sembilan.

“Manakala, 2 bahagian lain di Selangor iaitu Ampang dan Subang turut dibubarkan kerana ada banyak masalah. Mereka pandai-pandai. Jadinya, sesiapa yang ketika ini memegang jawatan, maka jawatannya lenyap,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan tindakan membubarkan PPBM Negeri Sembilan akan merencatkan sokongan dan bantuan yang akan diberikan parti itu kepada Anwar dalam kempen PRK Port Dickson.

“PPBM Pusat akan terlibat, tidak akan jejaskan PRK Port Dickson. Kita hadapi masalah sekarang, sebelum pilihan raya umum lagi, lebih baik kita selesaikan masalah.

“Jika ada masalah, PPBM Negeri Sembilan juga tidak boleh membantu (kempen PRK Port Dickson). Kita tunggu masa untuk redakan keadaan.”

Ahli PPBM diambil tindakan

Muhyiddin turut memaklumkan 6 ahli PPBM diambil tindakan, termasuk seorang dari Negeri Sembilan dipecat serta merta dari parti.

“Ketua Pemuda PPBM Bukit Bintang, Mohd Norhisyam Abdul Karim digantung setahun bermula Ogos dan 2 amaran keras. Timbalannnya pula Shamsul Anuar Khairi diberi amaran keras.

“Setiausahanya, Abdul Razak Zubir digantung setahun dan diberi amaran keras. Ketua Penerangannya Azrul Faiesal Abdullah digantung keahlian setahun.

“Manakala, ahli jawatankuasa bahagian PPBM di Putrajaya, Mohd Nurhalis Shafiq Shamsuri turut digantung selama setahun,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasrat pembentukan kerajaan gabungan antara PH dan Umno, Muhyiddin menjelaskan ia tidak diterima PPBM.

“Ini kali pertama saya dengar mengenai kerajaan perpaduan. Faktanya adalah PH sudah berjaya membentuk kerajaan dan memiliki kerusi majoriti di Parlimen.

“Umno dan PH tidak akan berdaya maju. Rakyat undi kita kerana mereka tolak Umno memandangkan banyak salah guna kuasa dilakukan, rasuah dan beberapa isu yang timbul,” katanya.

Malah, Muhyiddin mengesahkan partinya terbuka kepada semua pihak, walaupun bukannya ahli parlimen.

“Sudah tentu kita lihat ada yang menang dan kalah dalam bertanding pada pilihan raya umum lalu, dan ada pemimpin dalam Umno yang meninggalkan parti dan mahu sertai PPBM.

“Kita tidak boleh halang mereka, namun PPBM mempunyai polisi tersendiri, jika mereka nyatakan hasrat mahu sertai, kita akan pertimbangkan namun pilihan untuk bersama dengan kita itu bergantung kepada kita.”
--FMT--
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger