Home » » Pembeli getah ditemui tidak sedarkan diri

Pembeli getah ditemui tidak sedarkan diri

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 26 September 2018 | 21:21


KUALA KRAI - Pembeli getah dari Taman Sri Bahagia yang tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu ditemui di Aring, Gua Musang, kelmarin.

Tan Su Khoon, 48, ditemui orang awam di dalam lorinya di tepi jalan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Aring seterusnya ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.


Isterinya, Teh Sai Eang, 44, berkata, pada Isnin lalu suaminya keluar dari rumah mereka jam 11 pagi untuk bekerja seperti biasa tetapi tidak memaklumkan tempat hendak dituju.

Menurutnya, sekitar  jam 12 tengah hari, suaminya menghubunginya memberitahu dia menghala ke Pahi untuk mengambil getah.

"Selalunya kami balik makan tengah hari di rumah, jadi suami akan ambil saya di tempat kerja.

"Tapi hari itu disebabkan suami tidak yakin dapat balik, dia minta saya balik sendiri," katanya.

Kakitangan swasta itu berkata, selepas daripada itu suaminya tidak dapat dikesan.

Katanya, kebiasaannya suaminya keluar dengan pekerjanya untuk mengambil getah tetapi pada Isnin lalu dia tidak pasti sama ada suaminya keluar sendirian atau sebaliknya.

"Selepas suami tidak pulang saya cuba mencari dan selepas 24 jam kehilangannya saya membuat laporan polis.

"Pada petang Selasa kawan cadangkan saya hubungi Hospital Gua Musang dan dimaklumkan suami ada di sana," katanya.

Menurutnya, suaminya yang tidak sedarkan diri dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

"Saya tertanya-tanya macam mana keadaan suami ketika ditemui, memandangkan dia tidak sedarkan diri hingga sekarang.

"Jadi saya berterima kasih kepada individu yang menemui dan hantar suami ke klinik. Saya amat berharap dapat berjumpa dengannya," katanya.

Tambahnya, dia pelik diberitahu suaminya berada di Aring memandangkan rutinnya membeli getah sekitar Kuala Krai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan Su Khoon.

Menurutnya, maklumat daripada saksi, mangsa kemungkinan terkena serangan jantung.
--sinar--
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger