Saturday, 2 May 2026

Pertempuran Kota Tampan



Mawar Cantik berdiri di atas benteng tanah Kota Tampan, memerhati jauh ke arah hutan yang menjadi sempadan antara Perak dan wilayah yang dikuasai Siam serta sekutunya dari Reman. Rambutnya diikat kemas, wajahnya tenang tetapi matanya tajam seperti mata helang. Di pinggangnya tersisip sebilah keris, sementara di bahunya tergantung sepucuk senapang yang diubahsuai; lebih ringan, lebih pantas dan lebih mematikan.

Dia belajar dari musuhnya.

“Pasukan Siam akan bergerak sebelum matahari tinggi,” kata seorang pengintip yang baru tiba, nafasnya tercungap-cungap.

Mawar hanya mengangguk perlahan. “Biarkan mereka masuk.”

Para panglima di sekelilingnya saling berpandangan. Salah seorang, 

seorang lelaki tua bernama Tok Janggut Lela, mengerutkan dahi. “Kita biarkan mereka mara? Itu berbahaya. Mereka punya jumlah yang lebih ramai, ditambah lagi bantuan dari Reman.”

Mawar memandangnya dengan senyuman tipis. “Itulah sebabnya mereka akan kalah.”

Kabut pagi menyelimuti Kota Tampan seperti tirai yang enggan disingkap. Sungai yang mengalir tenang di kaki bukit seakan menyimpan rahsia yang bakal meletus menjadi darah dan api. Tahun 1876 menyaksikan negeri Perak berada dalam keadaan yang rapuh - perebutan kuasa, campurtangan Inggeris dan perpecahan dalam kalangan pembesar menjadikan bumi itu seperti bara yang menunggu ditiup angin. Maka sekali lagi, Siam menghidu peluang untuk menangguk di air yang keruh. Menggunakan alasan Reman, Siam mahu menguasai sepenuhnya lombong-lombong dan tanah subur di Hulu Perak.

Namun di tengah kekacauan itu, muncul satu nama yang mula berbisik dari mulut ke mulut di Konsul British di Bangkok - Mad Mengkong.

Siti mendengar dengan asyik cerita tentang moyangnya yang satu ini. Kak Linda menghirup kopi panas.

"Dia telah merancang semuanya dengan teliti. Kota Tampan bukan semata-mata kubu; ia adalah perangkap. Hutan di sekelilingnya telah dipenuhi lubang jerangkap samar, laluan sempit telah ditanam pancang tajam, dan beberapa kawasan telah dipenuhi bahan mudah terbakar yang hanya menunggu percikan api. Tetapi yang paling penting ialah strategi yang belum pernah digunakan oleh pasukan Melayu sebelum ini - serangan berperingkat dengan koordinasi isyarat bunyi dan cahaya.

Mawar Cantik telah mempelajari teknik ini daripada catatan yang dirampas daripada pegawai Inggeris. Jika Inggeris boleh menggunakannya untuk menakluk, dia juga boleh menggunakannya untuk mempertahankan tanah airnya," cerita Kak Linda.

-------------------------

Teaser buku baru.

Kota Tampan itu memang wujud di negeri Perak dan memang merupakan salah satu kubu pertahanan tentera Perak suatu ketika dulu dalam melawan dasar perluasan kuasa oleh Dinasti Chakri ketika itu. Dari situ muncul kata 'tampan' yakni menampan/menahan serangan musuh.

Seperti yang Srikandi pernah catat dulu, negeri Perak bukanlah sepenuhnya monarki mutlak namun bergantung juga kepada sistem pembesar. British boleh menggulingkan raja namun tidak boleh mengguling seluruh sistem pembesar itu. Ia tidak seperti Burma, Vietnam dan lain-lain tempat yang mana bila raja digulingkan atau turun takhta, seluruh monarki berakhir. 

Raja itu sendiri ada wilayahnya. Apabila Perak dalam krisis campurtangan Inggeris dulu, wilayah-wilayah lain masih ada pembesar masing-masing, terutamanya Hulu Perak yang dikuasai kerabat Mengkong.

Hulu Perak ada tradisi melantik wanita berkarisma ke tampuk kepimpinan macam Tok Temong atau Puteri Tan Puteh. Apatah lagi wilayah berdekatannya macam di Patani yang ada sejarah ratu-ratu. Negeri Bedelong dan Ligor juga ada legenda Puan Berdarah Putih, seorang wanita yang dihormati sehingga tercatat juga dalam rekod Siam. 

Autoriti yang diberi kepada pihak perempuan ini lebih kepada kepimpinan, karisma dan pengetahuan di mana ia bukanlah sampai ke tahap meresapi ke dalam adat seperti Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Maka jika para mengkong di sebelah pihak Reman terdiri daripada pahlawan lelaki, mengkong di sebelah Perak pula terdiri daripada para pemimpin wanita.

Insya Allah buku baru sempena pesta buku akan datang. Judul buku nanti Srikandi beritahu.

Sumber Kredit ~Srikandi

Red Mengkong of Kerunai