Nurfisya dikatakan dibunuh selepas hanya sehari dia mengenali suspek utama.
Mangsa yang menetap di sebuah kondominium, dikatakan telah dijemput oleh seorang lelaki berusia 19 tahun pada malam Khamis kira-kira jam 8 malam menggunakan sebuah kereta Perodua Bezza.
Menurut sumber, kedua-duanya kemudian dipercayai keluar makan malam di sebuah restoran makanan Korea di Wakaf Bharu, Tumpat. Mangsa sempat memuat naik gambar makanan menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira sejam sebelum kejadian berlaku.
Hasil siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mayat mangsa ditemui orang awam pada jam 12.22 tengah malam di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh sebelum laporan dibuat kepada pihak polis.
Sumber turut memaklumkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang dipercayai menjadi punca kejadian tersebut. Suspek juga dikatakan sempat pulang ke rumah sebelum kejadian bagi mengambil senjata yang digunakan.
Mangsa dipercayai maut ketika berada di dalam kenderaan sebelum mayatnya ditinggalkan di lokasi kejadian.
Berikutan kes itu, polis menahan beberapa individu termasuk suspek utama, dua remaja lelaki berusia 19 tahun, serta pasangan suami isteri yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua mereka ditahan di lokasi berasingan sekitar Ketereh. Ujian saringan awal air kencing mendapati semua yang ditahan bebas daripada sebarang bahan terlarang.
Polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebilah pisau, dua buah kenderaan, telefon bimbit serta pakaian dan barang peribadi lain yang dipercayai berkaitan siasatan.
