BERITA TERKINI
Showing posts with label Edisi Sabah Serawak. Show all posts
Showing posts with label Edisi Sabah Serawak. Show all posts

Seorang mangsa rempuhan kereta api maut

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 26 September 2018 | 23:59


KOTA KINABALU - Salah seorang daripada dua mangsa yang cedera parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka dirempuh dan diseret kereta api berhampiran Tugu Peringatan Petagas, dekat sini hari ini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Mangsa yang dikenali sebagai Daniel Shafwan Omar, 21, meninggal dunia di kira-kira pukul 4 petang tadi akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan akibat tersepit di dalam kenderaan berkenaan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt George Abdul Rakman ketika dihubungi berkata, impak rempuhan itu mengakibatkan kereta dinaiki mangsa terseret sejauh kira-kira 100 meter.

"Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati, mangsa yang memandu dari Tugu Peringatan Petagas menuju keluar ke jalan besar (Jalan Kepayan).

"Apabila mangsa tiba di laluan kereta api itu, palang penghadang kereta api melintas tidak di pasang mangsa dipercayai tidak menyedari kereta api sedang melintas," katanya.

Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang yang duduk sebelah pemandu manakala pemandu kenderaan itu cedera parah dan sedang menerima rawatan di hospital. –Bernama
--sinar--

Gesa nelayan Esszone pasang sistem AIS, radio

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 22 December 2016 | 16:13


LAHAD DATU - Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sekali lagi mengulangi gesaan agar nelayan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) dan radio VHF 16 untuk keselamatan golongan itu.

Ketua Staf Pusat Operasi Esscom Briged Jeneral Datuk Md Rahim Mohamad berkata pemasangan AIS dan radio operasi itu juga akan memudahkan usaha pemantauan oleh pasukan keselamatan terhadap bot nelayan selain memudahkan nelayan berhubung sekiranya berlaku kecemasan.

"Para nelayan hendaklah terlebih dahulu mementingkan keselamatan mereka setiap kali turun ke laut, sebab itu pemasangan AIS dan radio VHF 16 adalah diwajibkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Esscom termasuk Jabatan Perikanan telah mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Nelayan Kawasan Lahad Datu yang bertujuan menerangkan kepada pemilik dan juragan bot pukat jerut dan pukat tunda berkenaan kepentingan dan fungsi pemasangan AIS dan radio VHF 16.

"Kebanyakan jurangan bot tidak mengetahui AIS dan radio komunikasi ini penting untuk menjamin keselamatan mereka (nelayan) memandangkan ancaman masih berterusan," katanya.

Sementara itu, beliau turut mewajibkan golongan nelayan membuat ujian komunikasi radio dengan Pusat Operasi Esscom melalui radio VHF 16 sewaktu berada di laut.

"Bot-bot nelayan pukat jerut dan pukat tunda diwajibkan melapor kepada Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 sehari sebelum ke laut dan ketika bergerak ke laut," katanya. – Bernama

Penjawat awam ditahan berhubung kes rogol


MIRI - Dua suspek ditahan berhubung kes rogol seorang wanita Indonesia berusia 30 tahun pada Isnin lepas.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, kedua-dua lelaki berusia 31 tahun itu merupakan warga tempatan dan seorang daripada mereka adalah penjawat awam.

"Suspek pertama ditahan pada 7.30 malam semalam di Kawasan Perindustrian Piasau, manakala suspek kedua yang merupakan penjawat awam ditahan pada jam 12.05 tengah malam tadi di Jalan Raja," katanya di sini hari ini.

Khoo berkata, suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau, dan merupakan penganggur dari Kampung Piasau Utara Miri.

"Suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah, dan kami sedang memburu suspek ketiga yang masih bebas," katanya.

Khoo berkata, suspek ketiga mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak bekerja.

Mangsa membuat laporan polis pada Isnin lepas setelah dirogol oleh suspek di sebuah rumah di Piasau Utara.

Ketika kejadian suspek mendakwa sebagai pegawai polis ketika mereka menghampiri mangsa di sebuah kuarters pekerja pada 6 pagi Isnin.

Suspek ditinggalkan di tepi jalan di sebuah pusat beli-belah di sini pada jam 2.30 petang hari sama selepas dia dirogol.

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Miri dan kemudian membuat laporan polis. - Bernama

Najib rasmi jambatan Batang Sadong

Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 18 December 2016 | 16:41


SADONG JAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48km bernilai RM231 juta yang dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

Beliau berkata pembinaan jambatan itu berjaya disiapkan dua minggu lebih awal daripada perancangan di samping kosnya lebih rendah RM12 juta berbanding pengumuman awal.

Najib menegaskan projek itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk membangunkan kawasan terutama luar bandar menerusi pembangunan rangkaian perhubungan jalan raya yang baik, selesa dan selamat.

"Ini semua rahmat bagi kita. Selain jaminan keselamatan, ia juga akan merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk kawasan ini, potensi hasil pertanian kawasan ini juga boleh dipertingkatkan," katanya semasa merasmikan jambatan itu.

Najib berkata beliau meluluskan pembinaan jambatan itu secara spontan semasa melakukan tinjauan mesra ke kawasan berkenaan pada 2011 selepas mendengar kesukaran penduduk setempat di samping kepentingan mewujudkan rangkaian jalan raya untuk penduduk pesisir pantai yang tidak 'disinggahi' Lebuhraya Pan Borneo.

Bagi melengkapkan jajaran jalan pesisir pantai, Najib berkata satu lagi jambatan dirancang untuk dibina merentasi Sungai Batang Lupar bernilai RM1 bilion yang pembinaannya dijangka dimulakan pada 2018.

Beliau berkata apabila siap jambatan sepanjang kira-kira 5km yang dilaksanakan secara perkongsian 50-50 antara kerajaan negeri dan persekutuan itu, ia dijangka berstatus jambatan terpanjang di Sarawak, yang ketika ini dipegang oleh jambatan Batang Sadong.

Katanya beberapa jambatan lagi yang sedang dirancang atau sudah diluluskan untuk menyediakan jajaran jalan pantai yang lebih lengkap dan selesa adalah jambatan Batang Samarahan (anggaran RM112 juta), Batang Igan (RM300 juta), dan jambatan Batang Rambungan (RM130 juta).

Najib berkata inilah janji kerajaan yang tidak pernah diabaikan, kerana bagi kerajaan apabila berjanji, janji ditepati.

Antara yang turut hadir di majlis pagi ini ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. - Bernama

Pemutihan kawasan risiko perlu komitmen semua


TAWAU - Pemutihan kawasan berisiko tinggi aktiviti penyalahgunaan dadah memerlukan komitmen semua pihak khususnya komuniti di peringkat akar umbi.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat berkata, terdapat 178 kawasan berisiko tinggi dengan gejala dadah di seluruh negara termasuk tujuh lokasi di negeri ini.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Merotai, Tawau; Sandakan; Menggatal, Penampang dan Karamunsing di Kota Kinabalu; Keningau serta Beaufort.

"Kawasan-kawasan ini menjadi 'hotspot' di negeri ini kepada aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang juga menyumbang kepada isu keselamatan dan masalah penyakit sosial yang lain," katanya.

Beliau yang juga Adun Tanjong Batu berkata demikian pada Program Kupi-Kupi di Dewan Mini Kg. Kuala Merotai dekat sini, hari ini.

Hamisa berharap semua pihak tidak melindungi pengedar dan penjual dadah sebaliknya tampil menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.

Katanya, faktor permintaan dan bekalan dadah yang sukar ditangani secara total menjadi cabaran utama dan sukar untuk dibendung tanpa kaedah atau strategi yang komprehensif dan menyeluruh.

"Situasi semakin mencabar dan membimbangkan apabila permasalahan dadah kini dilihat boleh menjadi tahap epidemik yang mampu meruntuhkan sesebuah negara," katanya.

Selain itu menurutnya, faktor kurang kesedaran dan sikap sambil lewa serta menganggap permasalahan dadah bukan masalah sejagat ditambah sikap tidak ambil peduli terhadap pengedar dan penagih dadah menyebabkan isu ini sukar dibanteras.

"Sikap dan pemikiran masyarakat yang tidak tepat ini perlu diberi anjakan paradigma dalam menilai dan bertingkah laku terhadap isu penyalahgunaan dan penagihan dadah agar masalah dadah dapat diperangi," tambahnya.

Hamisa berkata, Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan perlu digerakkan dengan pelbagai pengisian dan melibatkan keseluruhan lapisan masyarakat agar impaknya lebih berkesan. – Bernama
 
Support : Creating Website | Berita Setiap Hari | Berita Setiap Hari
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Berita Setiap Hari
Proudly powered by Blogger