Tuesday, 3 December 2013
5 Beranak Dari Sabah Penyamun Karnival
Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka sanggup terbang dari Sabah untuk pergi ke karnival dan pesta di seluruh negara sepanjang tahun ini, semata-mata untuk menyamun barang kemas pengunjung.
(Gambar Hiasan)
Menerusi kegiatan itu, mereka hidup mewah dengan menginap di hotel lima bintang di sini, ketika dicekup polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, sehari selepas pergi ke karnival di Bukit Jalil, Ahad lalu.
Kumpulan terbabit diketuai lelaki berusia 52 tahun dan dibantu isteri berumur 43 serta tiga anak berusia 13, 16 dan 17 tahun, ditahan ketika membuat urusan untuk daftar keluar hotel di Bukit Bintang.
Dengan penahanan mereka, polis menemui enam loket emas, 12 utas rantai emas, tiga gelang tangan emas, sepasang subang emas disembunyikan dalam kasut.
Polis turut menemui 10 resit jual beli dan gadai barang kemas di Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak dan Kedah, lima telefon bimbit, satu alat penimbang, satu gunting dan wang tunai RM4,640.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan pengunjung karnival dan pesta di seluruh negara seperti Pesta Pulau Pinang.
“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan mengesan saki-baki barang kemas yang disamun suspek termasuk yang dijual atau digadai,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Siasatan mendapati pasangan terbabit melatih anak mereka melakukan jenayah dan aktif sejak awal tahun ini.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu atau pernah menjadi mangsa, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Cheras, Asisten Superintendan Ong Seng Keong, di talian 019-3727888, bagi membantu siasatan.
Modus operandi mereka ialah mengarahkan anak mendekati bayi atau kanak-kanak yang dibawa keluarga masing-masing ke karnival dan meragut barang kemas, termasuk menggunakan gunting untuk memotong barang kemas seperti rantai.
Sejurus melakukan jenayah, tiga beradik itu menghilangkan diri dan menyerahkan barangan berharga kepada ibu bapa mereka.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu atau pernah menjadi mangsa, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Cheras, Asisten Superintendan Ong Seng Keong, di talian 019-3727888, bagi membantu siasatan.
--Bharian