Tuesday, 3 December 2013

Akibat Ceroboh asrama perempuan


Kota Bharu: Akibat menceroboh asrama perempuan sebuah kolej, seorang buruh dijatuhi hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Yusri Latiff, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda.


Dia turut didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah kerana gagal menunjukkan kad pengenalan kepada pegawai polis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh asrama perempuan sebuah kolej di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Badang di sini pada jam 4 pagi, 28 November 2013.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, di lokasi dan tarikh sama, tertuduh didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri kepada pegawai polis jam 4.20 pagi.

Kesalahan didakwa mengikut Peraturan Pendaftaran Negara No7(1) dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, pengawal keselamatan melihat tertuduh merangkak di bawah blok asrama berkenaan dan pengawal itu menahan sebelum menyerahkannya kepada polis.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan bagi mengelak dibuang kerja kerana perlu menyara ibu dan bapa.


“Saya masuk ke kawasan itu kerana mengejar seorang lelaki yang masuk di situ,” katanya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon tertuduh dijatuhi hukuman penjara kerana kesalahan serius yang dilakukannya.


“Menceroboh kawasan asrama perempuan perbuatan serius kerana dikhuatiri berlaku jenayah lebih serius,” katanya.
--Hmetro