Himpunan Malam Tahun Baru Gambaran Politik Tidak Matang, Ektrimis Pembangkang
Written By Berita Setiap Hari on Sunday 22 December 2013 | 19:57
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat melihat usaha pembangkang menganjurkan himpunan rakyat pada 31 Disember ini sebagai pendekatan politik yang tidak matang dan ekstrimis.
Menurut beliau, perhimpunan rakyat ini sebenarnya merupakan satu cabang provokasi terhadap rakyat yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang bagi meraih keuntungan politik kepartian mereka.
“Bagi saya, himpunan seperti ini asas dan misi utamanya adalah untuk political mileage mereka. Dengan himpunan seperti ini, maka mereka berjaya memberikan gambaran kepada rakyat di negara ini, dan juga di luar negara bahawa kerajaan yang ada hari ini zalim dan sebagainya.
“Di sinilah maka, wujudnya keuntungan politik bagi mereka. Apabila kerajaan sudah dianggap zalim dengan provokasi dan persepsi negatif yang mereka bina, secara tidak langsung pembangkang pula akan dianggap sebagai saviour atau hero bagi rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Beliau seterusnya meminta kerajaan, agar tidak memandang remeh dan enteng dalam hal-hal himpunan atau demonstrasi seperti ini, kerana ia boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
“Dalam soal ancaman kepada negara pula, ia boleh dilihat daripada pelbagai aspek yang berbeza. Jika himpunan ini diadakan di jalan raya, maka ia merupakan satu ancaman kepada aspek keselamatan rakyat yang lainnya, termasuk petugas-petugas kerajaan seperti polis dan sebagainya.
“Himpunan seperti ini juga boleh dilihat sebagai ancaman kepada ekonomi negara. Apabila himpunan seperti ini berjaya, maka hasrat pembangkang untuk mengekspresikan bahawa kerajaan hari ini zalim dan teruk, akan tergambar ke seluruh dunia.
bersih tiga
“Ini secara tidak langsung akan membantutkan mana-mana pelaburan luar ke dalam negara, kerana persepsi yang digambarkan memperlihatkan berlakunya ketidakstabilan di dalam negara. Ini juga merupakan ancaman terhadap kestabilan, maruah serta nama negara itu sendiri,”jelasnya.
Rakyat juga menurut beliau, perlulah berwaspada dengan provokasi politik seperti ini yang tidak menggambarkan kematangan di dalam berpolitik.
“Sebagai rakyat, kita tidak harus sambut idea politik tidak matang seperti ini. Apa yang perlu kita lakukan hari ini ialah memberikan tumpuan dan idea bagaimana untuk menjadikan negara kita lebih baik dari yang semalam.
“Kita perlu membina negara kita mengikut acuan kita sendiri. Tidak perlu terpengaruh dan terikut-ikut dengan cara negara luar, baik dari negara-negara barat ataupun dari negara-negara Arab yang sehingga kini masih tidak aman akibat demonstrasi yang sebegini.
“Malah kita, sebagai rakyat perlu menentang politik yang tidak matang dan berunsurkan ekstrimis sepertimana yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang di negara ini,” tegasnya. -MediaUMNO
Share this article :
Labels:
Politik