Tuesday, 10 December 2013
Minyak masak tumpah di jalan raya
TAWAU: Sembilan penunggang motosikal tergelincir dan sebuah pacuan empat roda terbabas akibat permukaan jalan raya yang licin susulan daripada tumpahan minyak di atas jalan sepanjang kira-kira 100 meter di Bulatan Masjid Al-Kauthar di sini kelmarin.
Menurut sumber di lokasi kejadian, insiden terbabit didakwa berlaku apabila muatan minyak masak dari sebuah lori tiga tan tercampak di atas jalan raya sebaik pintu belakang kenderaan terbabit terbuka secara tiba-tiba semasa melalui bulatan itu kira-kira jam 1.30 petang.
Utusan Borneo yang menjalankan tinjauan di lokasi kejadian mendapati lapan laluan keluar-masuk utama ke Bandar Tawau terpaksa ditutup ekoran ancaman keselamatan dan memberikan ruang untuk kerja-kerja pembersihan laluan dilakukan.
Insiden itu secara tidak langsung menyebabkan kesesakan teruk di Bandar Tawau apabila hampir sepanjang jalan dari pusat bandar menghala keluar ke bulatan terbabit ‘bergerak’ dalam tempoh yang amat perlahan sehinggalah lewat petang menerusi laluan alternatif.
Pasukan Bomba dan Penyelamat serta beberapa pekerja am dilihat bertungkus-lumus membersihkan kesan tumpahan minyak terbabit di lokasi kejadian menggunakan jentera serta peralatan lain, selain pihak polis yang mengawal keadaan lalu-lintas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzek berkata pihaknya menerima panggilan dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabah mengenai laporan awam berhubung kejadian sebuah kereta yang terbabas akibat jalan licin.
“Susulan laporan itu, kita bergegas menghantar enam anggota termasuk pegawai dan sebuah jentera bomba ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan menggunakan air buih dan pasir untuk membersihkan jalan berkenaan.
“Kita dapati hampir separuh jalan raya di sekitar bulatan terbabit terjejas dengan kesan minyak masak dan kita juga terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk membersihkan kesan tumpahan minyak berkenaan,” katanya.
Rudy berkata operasi pembersihan tumpahan minyak ditamatkan pada jam 4.06 petang selepas pihak bomba berjaya memastikan kesan tumpahan minyak di atas laluan yang mengancam keselamatan pengguna jalan sudah dibersihkan.
---TheBorneoPost