Home » » Puluhan ribu kepung rumah Yingluck

Puluhan ribu kepung rumah Yingluck

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 22 December 2013 | 18:17



BANGKOK - Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan berarak di pusat bandar raya ini semalam sekali gus melumpuhkan lalu lintas dan mencetuskan konfrontasi dengan pasukan polis yang berkawal di luar kediaman Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Tunjuk perasaan tersebut merupakan bantahan terbaharu terhadap kerajaan Thailand.

Penunjuk perasaan itu berpecah kepada lebih 12 kumpulan termasuk mereka yang mengepung kediaman Yingluck.

Beliau tiada di rumah semasa kejadian.

Perhimpunan tersebut berlangsung sehari selepas pembangkang utama Thailand, Parti Demokrat mengumumkan akan memulaukan pilihan raya pada 2 Februari depan.

Tunjuk perasaan kali ini turut diadakan selepas sokongan kepada beberapa perhimpunan antikerajaan sebelum ini semakin merosot.

Pendirian Parti Demokrat seiring dengan permintaan penunjuk perasaan yang mahu Yingluck meletak jawatan menjelang pilihan raya tahun depan.

"Saya tidak tahu apa yang bermain di fikiran Yingluck. Namun, apa yang saya tahu dan pasti adalah semua kakitangan kerajaan, tentera dan polis sedar bahawa rakyat kini bangkit menentang kerajaan," kata ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban.

Baru-baru ini, Yingluck mengumumkan pilihan raya berkenaan sebagai usaha untuk meredakan krisis politik Thailand.

Yingluck dan abangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra masih popular di utara dan timur laut Thailand.

Namun, gerakan Suthep disokong oleh golongan minoriti berpengaruh di sini termasuk kelompok birokrat, golongan elit dan kalangan jeneral tentera.

Golongan pekerja yang setia kepada Thaksin melihat beliau sebagai seorang bilionair yang komited untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Bagaimanapun, musuh politik Thaksin menganggap pemimpin itu sebagai pemerintah kuku besi yang memperalat penduduk miskin dan menyalah guna kuasa untuk membantu perniagaan keluarga dan rakan-rakannya. - Reuters


Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger