Home » » 'Saya sedia maafkan dia'

'Saya sedia maafkan dia'

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 22 December 2013 | 19:07


KOTA BHARU - Seorang jurukimpal bernasib baik dibebaskan mahkamah majistret di sini, semalam, selepas dimaafkan adik iparnya kerana ditampar lelaki itu, Ogos lalu.

Keputusan dibuat Majistret, Nik Habri Muhamad apabila mangsa, Salbiha Musa, 31, bersetuju menyelesaikan secara baik perselisihannya dengan Mohd Zawawi Adam, 36.

Mohd Zawawi dituduh memukul mangsa dengan tangan di sebuah rumah dan bangsal tanpa nombor di Kampung Pulau Panjang, Jalan Kuala Besar, di sini.

Kejadian berlaku pada jam 9 pagi, 29 Ogos itu menyebabkan mangsa cedera.

Berdasarkan fakta, Mohd Zawawi berang selepas perbuatannya bertengkar dengan isteri iaitu kakak pengadu ditegur oleh pengadu. Dia kemudian menampar pipi pengadu sebelum berlaku pertengkaran mulut menyebabkan Mohd Zawawi menampar pengadu dua kali lagi.

Pengadu kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan Mohd Zawawi sebelum lelaki itu dihadapkan ke mahkamah.

Pada prosiding semalam, Salbiha bagaimanapun hadir dan memberi keterangan balas serta mengaku perbalahan itu membabitkan permasalahan keluarga.

“Saya sudah berbaik dengannya dan bersedia memaafkan dia,” katanya.

Sejurus itu, kedua-duanya dilihat bersalaman di hadapan Nik Habri.

Nik Habri sempat menasihatkan Mohd Zawawi supaya tidak mengulangi perbuatannya itu kerana jika perkara sama berlaku, tidak mungkin dia terlepas lagi.
---Sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger