Home » » ‘Adik sudah tiada’

‘Adik sudah tiada’

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 28 January 2014 | 16:02


Seremban: Kegembiraan sepasang suami isteri menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga bagaikan direntap apabila bayi perempuan berusia lima bulan itu meninggal dunia di rumah pengasuhnya tengah hari semalam.

Difahamkan, Amani Saffiya baru sebulan dijaga pengasuhnya, Haryzian Sidi, 32, bersama dua kanak-kanak lain.
Menurut bapa mangsa Shahrun Ismail, 36, sebelum ini, anak bongsu tiga beradik itu berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghidap penyakit.
Katanya, arwah hanya menangis setiap kali mahu dihantar kepada pengasuh, namun itu adalah perkara biasa memandangkan anaknya itu sudah pandai mengenal orang.
“Sehinggalah pada tengah hari ini (semalam), isteri memaklumkan dihubungi pengasuh yang meminta datang segera ke rumahnya kerana ada kecemasan tanpa memberitahu apa-apa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), petang semalam.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan bilik mayat apabila Shahrun dan isteri, Nor Haslinda Hamzah, 32, yang juga guru tidak dapat menahan pilu dengan kematian anak bongsu mereka.

Beberapa ahli keluarga dan rakan sekerja turut sebak melihat jenazah bayi berkenaan dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan. Menurut Shahrun, dia dan isteri tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku, namun reda dengan takdir Allah SWT.
“Sebaik isteri tiba di rumah pengasuh, luluh hati isteri melihat keadaan arwah yang tidak bernyawa sebelum bergegas membawanya ke klinik kesihatan berhampiran.
“Ketentuan ini sudah ditetapkan Allah, kita sebagai hamba-Nya menerima dugaan ini dengan penuh sabar,” katanya yang mempunyai dua lagi anak berusia lima dan tiga tahun.
Isterinya, bagaimanapun enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.
Sementara itu, Haryzian berkata, dia mengambil arwah kira-kira jam 6.40 pagi di rumah keluarganya yang terletak berdekatan rumahnya di taman itu.
Katanya, dia kemudian membawa arwah bersama ketika menghantar dua anaknya ke sekolah kira-kira jam 7 pagi.
“Sebaik pulang ke rumah, saya tidurkan arwah dalam buaian sebelum melakukan kerja rumah sambil beberapa kali menjenguknya.
“Pada waktu tengah hari ketika hendak memandikannya, saya terkejut mendapati tubuhnya kelihatan kebiruan dan sejuk dan berusaha memberi bantuan pernafasan (CPR).

“Dalam keadaan panik saya terus menghubungi ibunya sebelum Amani Saffiya dibawa ke klinik kesihatan,” katanya yang sebak dengan kejadian itu.

Menurutnya, bayi itu dianggap seperti anak sendiri dan amat terkejut dengan kejadian itu.

“Ini sebab saya berat hati nak menjaga bayi kerana bimbang kejadian seperti ini. Namun, apakan daya Allah lebih menyayanginya yang saya anggap seperti anak sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Katanya, setakat ini, siasatan awal tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah dan polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat mangsa.
--Harian Metro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger