Home » » Kontraktor main kotor

Kontraktor main kotor

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 28 January 2014 | 16:16


Kuala Lumpur: Taktik kotor kontraktor utama sebuah projek pembinaan kondominium mewah yang menyembunyikan saluran tambahan di bawah tanah bagi mencuri air gagal apabila berjaya dikesan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn (SYABAS), di sini, semalam.

Perbuatan itu dipercayai bermula pada bulan Mei 2012 selepas pihak kontraktor mengemukakan permohonan untuk mendapatkan satu saluran bekalan air sah daripada pihak SYABAS sedangkan projek pembangunan itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga sambungan air.


Pengarah Eksekutif Bahagian Kadar Kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW) SYABAS, Yusof Badawi berkata hasil risikan dan siasatan sejak tahun lalu, pihaknya mengesahkan kontraktor utama projek pembinaan terbabit mencuri air melalui paip utama SYABAS menggunakan satu paip tambahan.
“Kami juga menerima aduan penduduk di sekitar kawasan berkenaan mengenai masalah tekanan air yang sering turun secara mendadak.


“Siasatan mendapati ada satu sambungan bekalan air melalui paip utama SYABAS menggunakan paip jenis High Density Poly Ethylene (HDPE) bersaiz 32 milimeter (mm) sepanjang kira-kira 300 meter menghubungkan terus kepada tiga tangki besar,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu, semalam.


Yusof berkata, kecurian air berkenaan membabitkan kos sebanyak RM240,000 selepas semakan data akaun SYABAS mendapati penggunaan air di premis berkenaan rendah dan tidak sepadan dengan aktiviti pembinaan yang dijalankan.
“Hasil ujian klorin yang dijalankan adalah positif, sekali gus membuktikan sampel bekalan air yang diambil adalah dari bekalan air terawat agihan SYABAS.


“Kami memandang serius kes kecurian air seperti ini dan akan menjalankan pemantauan berterusan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, kontraktor itu akan diberi Notis Pemberitahuan Kesalahan bagi menuntut ganti rugi kehilangan air, manakala SPAN pula mengeluarkan notis tindakan pendakwaan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
--Hmetro

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger