Home » » Guna saluran betul luah perasaan

Guna saluran betul luah perasaan

Written By Berita Setiap Hari on Monday 27 January 2014 | 19:33


PEMINAT sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kemerosotan sukan sepak takraw, bukannya melalui cara perhimpunan boikot yang boleh mencemarkan sukan tradisional negara.

Pandangan ini diluahkan bekas pemain Selangor 1998 yang dihubungi Sinar Harian berhubung suara menggesa Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail meletak jawatan berikutan kemerosotan prestasi permainan tradisional itu di pentas antarabangsa.

Beliau yang enggan mendedahkan nama sebenar berkata, pihak yang tidak berpuas hati haruslah mengemukakan usul kepada persatuan masing-masing supaya dapat memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Ini kerana, dengan cara berkenaan, segala isu yang menjadi pertikaian hari ini boleh diselesaikan secara teratur dan anggota dapat memutuskannya secara kolektif.

“Hanya cara demikian kita (anggota gabungan) boleh menentukan sama ada Tok Mat (Presiden) perlu berundur atau tidak.

"Kalau sekadar luah perasaan, kutuk-mengutuk masalah takkan ke mana. Ia hanya akan memburukkan sukan tradisional negara. Kalau ada idea, datang jumpa persatuan berbincang dan perjelaskan apa yang mereka perlukan untuk membangunkan sukan takraw," katanya semalam.

Beliau yang juga bekas pemain Universiti Asean turut menasihatkan agar pihak terbabit jangan jadi budak tidak matang yang hanya bersuara berlandaskan emosi.

"Buat boikot, guna kata-kata maki, suruh presiden letak jawatan, adakah itu membantu menyelesaikan masalah. Bagi saya, semua itu menunjukkan ketidakmatangan mereka.

"Kalau tak puas hati, guna saluran betul jangan bersikap boleh menjatuhkan maruah sukan. Di Malaysia sukan tradisional popular ada dua sahaja iaitu silat dan sepak takraw.

"Jadi, bertindaklah dengan cara yang sedap mata memandang, jangan menggunakan kekerasan," jelasnya yang masih percaya kepimpinan Ahmad Ismail masih mampu melonjakkan sukan takraw Malaysia.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, Kelab Sukan Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw (KRKBPSTM) menggesa kepimpinan tertinggi PSM termasuk Ahmad; Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahaya dan penolongnya, Tengku Adnan Tengku Burhanudin meletak jawatan susulan prestasi hambar skuad sepak takraw negara yang sering dimalukan dalam saingan kompetitif di pentas antarabangsa.
--sinar harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger