Home » » Tragedi bot pemancing terbalik

Tragedi bot pemancing terbalik

Written By Berita Setiap Hari on Monday 27 January 2014 | 19:51

GELANG PATAH - Seorang pemilik restoran ditemui lemas manakala seorang lagi mangsa masih hilang selepas bot yang mereka naiki terbalik ketika keluar memancing dipercayai akibat bergesel dengan sebuah kapal.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, mangsa, P Abu Bakar P Ali Kutty, 55, memancing bersama anak saudaranya, Mohd Mansor Hamzah, 30, berhampiran kawasan perairan Pendas Laut, di sini.
(Gammbar Superintendan Noor Hashim menunjukkan bot mangsa yang berjaya ditemui.)
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian terbabit kira-kira jam 1.19 petang.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, mayat mangsa ditemui berhampiran Pulau Pergam di dalam kawasan perairan Singapura dan mayatnya telah dihantar ke sebuah hospital di negara itu. Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkara ini untuk tujuan pengecaman.

“Bot yang dinaiki kedua-dua mangsa ditemui berhampiran lokasi kejadian, bagaimanapun mangsa kedua masih gagal ditemui. Gerakan mencari masih diteruskan dan kita turut mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan laut dan unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat,”katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Sukri Melino berkata, dia ternampak mangsa menaiki bot bersama anak saudaranya itu menuju ke Pendas Laut untuk memancing.

Dia yang juga anak kepada pemilik rumah rakit Jeti Kampung Tebing Runtuh memaklumkan mangsa sering datang ke kawasan berkenaan untuk menangkap ikan.

“Sebelum kejadian, saya sedang memancing berhampiran kawasan Puteri Harbour sebelum salah seorang penduduk kampung menghubungi saya ternampak bot dinaiki mangsa terbalik kerana bergesel dengan sebuah kapal.

“Saya terus bergegas ke lokasi itu dan ternampak bot yang dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik. Saya cuba mencari kedua-duanya namun tidak berhasil dan hanya menemui selipar dan topi milik mangsa," katanya.

Sukri berkata, setelah  hampir setengah jam mencari mangsa, dia terserempak dengan pihak berkuasa marin Singapura seterusnya memaklumkan perkara terbabit.
--sinar harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger