Friday, 19 December 2014
Banjir: 4 sekeluarga terperangkap 7 jam
JERTIH - Empat sekeluarga yang terperangkap hampir tujuh jam dalam kejadian banjir di jalan Padang Tapong ke Lata Tembakah berjaya diselamatkan pasukan penyelamat, kira-kira jam 3.30 pagi semalam.
Mangsa, Mohd Zain Ismail, 45, bersama isteri, Noraini Ishak, 40, serta dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun terperangkap apabila jalan ke Hulu Besut terputus akibat ditenggelami air.
Menurut Mohd Zain, sebelum kejadian, mereka sekeluarga dari bandar Jertih membeli pakaian sekolah anak dan melalui jalan tersebut untuk pulang ke rumah di Kampung Padang Bual.
“Saya lalu jalan ini sebab jalan utama Jertih ke rumah saya melalui Alor Keladi sudah dinaiki air di Kampung Jerbun. Malangnya selepas kira-kira lapan kilometer, kereta Proton Waja yang dinaiki kami juga tidak boleh melalui jalan tersebut kerana air juga sudah melintas jalan.
“Saya kemudian ambil keputusan berpatah balik ke arah Padang Luas (Padang Tapong) tetapi jalan yang boleh dilalui sebelum ini sudah ditenggelami air menyebabkan kami tidak boleh ke mana-mana,” katanya.
Mohd Zain berkata, dia cuba meredah air, tetapi enjin keretanya tiba-tiba terhenti menyebabkan mereka berempat terpaksa menolak kenderaan tersebut ke tempat lebih tinggi.
Lebih malang, ketika menolak kereta, telefon bimbitnya dan isteri terjatuh ke dalam air menyebabkan mereka tidak boleh meminta bantuan.
“Tidak lama selepas terperangkap di situ, saya ternampak lampu kenderaan di seberang jalan yang tenggelam lalu saya beri isyarat dengan lampu kenderaan. Namun saya tidak menaruh harapan kerana sehingga jam 2 pagi tidak ada sesiapa datang,” katanya
Bagaimanapun kira-kira jam 3.30 pagi, dia sekeluarga lega apabila mendengar enjin bot dan terlihat lampu suluh.
Tiga anggota JPAM datang menyelamatkan mereka dan dibawa ke pusat pemindahan Kampung Padang Tapong.
--sinar