Friday, 19 December 2014
Tiga nyaris jadi mangsa arus deras
JERTIH - Hasrat murni seorang pemilik kenderaan pacuan empat roda dan seorang rakannya untuk menghantar seorang lelaki yang terkandas akibat banjir hampir meragut nyawa mereka bertiga.
Ketiga-tiga mereka nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki dihanyutkan arus deras di jalan Kampung Gaung dekat Taman Teratur, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku ketika kenderaan tersebut yang dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air dari arah Jertih ke Kampung Gaung.
Penduduk kampung, Wan Jusoh Wan Embong berkata, kesemua mangsa terselamat selepas dibantu penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian dikenali sebagai Sukri Mat Amin.
Menurutnya, sebelum kejadian, difahamkan pemandu kenderaan jenis Suzuki Jimny bersama seorang rakannya ingin menghantar seorang lelaki yang menumpang kenderaan tersebut untuk pulang ke Kampung Gaung.
“Tapi sebab arus deras dan air dalam menyebabkan kenderaan tersebut dihanyutkan ke kanan jalan.
“Pemandu dan penumpang segera keluar dibantu oleh Sukri sebelum dibawa ke tempat selamat,” katanya.
Wan Jusoh berkata, arus ketika itu sangat deras dan berbahaya kepada semua kenderaan memandangkan di sebelah kanan jalan terdapat parit dalam.
Sehingga tengah hari semalam, kenderaan tersebut yang hanya kelihatan bumbung didapati tersangkut pada pokok kira-kira 40 meter dari tempat kejadian.
--sinar