KOTA BHARU - Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan bandar ini dengan Pasir Pekan di Tumpat, kini ditutup kepada semua lalu lintas berikutan paras air di Sungai Kelantan sudah meningkat melepasi jambatan itu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata ia ditutup kerana keadaan itu berbahaya kepada pengguna.
"Ia ditutup kepada semua jenis kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di sekitar Kota Baharu dinaiki air sejak semalam berikutan banjir buruk yang melanda negeri ini terutama di kawasan Ulu Kelantan iaitu Gua Musang dan Kuala Krai.
Air dari kawasan berkenaan sedang mengalir ke arah Utara Kelantan iaitu jajahan Kota Bharu. - Bernama