Home » » Terpaksa Berlapar Di Sekolah

Terpaksa Berlapar Di Sekolah

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 28 January 2015 | 21:52


BESUT - Setelah kematian suami kira-kira empat tahun lalu, seorang ibu tunggal nekad membesarkan tujuh anaknya walaupun dihimpit kesusahan.

Rahimah Idris, 50, berkata, suaminya Rosdi Hassan meninggal pada 2011 selepas lebih setahun terlantar menderita penyakit strok selain beberapa masalah kesihatan lain seperti jantung.

Mujur ketika itu, dia sekeluarga sudah mempunyai rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diberikan kerajaan kepada keluarganya.

“Ketika suami meninggal anak saya masih kecil lagi, sekarang tujuh anak saya dah berusia antara 10 hingga 23 tahun iaitu tiga lelaki dan empat perempuan,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Kasut You melalui program 'You Care' iaitu salah satu program khidmat sosial syarikat tersebut kepada masyarakat.

Sebanyak tiga keluarga di daerah ini dipilih menerima sumbangan sekali itu bernilai RM500 bagi setiap keluarga sebagai tanda prihatin Kasut You kepada golongan kurang bernasib baik.

Sementara itu, Rahimah berkata, dia menanggung keluarganya dengan wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.

“Dengan wang bantuan itu lah saya sara anak-anak terutama untuk perbelanjaan persekolahan mereka.

“Masa anak ramai bersekolah, kerap kali juga saya tiada duit nak beri mereka belanja atau tambang ke sekolah menyebabkan mereka tidak ke sekolah atau terpaksa ikat perut di sekolah,” katanya.

Rahimah berkata, sekarang hanya tiga anaknya masih bersekolah iaitu seorang di tahun 4 SK Bukit Puteri dan dua lagi di tingkatan 1 dan 4, SMK Seri Bukit Puteri.

Menurutnya, dua anak kembarnya, Siti Nurhidayah dan Norhida, 18, sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM.

Dia yang bersyukur menerima sumbangan Kasut You itu merancang menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan persekolahan anak-anaknya terutama yang bersekolah menengah selain  perbelanjaan dapur.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger