Home » » Lelaki amuk, cuba rempuh jiran diberkas

Lelaki amuk, cuba rempuh jiran diberkas

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 7 February 2015 | 20:00


KUALA BESUT - Seorang lelaki yang mengamuk dan cuba merempuh jirannya dengan sebuah kereta berjaya diberkas penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis dalam kejadian di Taman Sri Intan, Kuala Besut, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, suspek berusia 30-an yang memandu sebuah kereta Naza Citra, cuba merempuh seorang pemuda berusia 20-an sambil mengugut mahu menetak mangsa dengan sebilah kelewang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, sebelum itu suspek yang terserempak dengan mangsa bertindak mengejar dan cuba merempuh pemuda terbabit dengan kereta yang dipandunya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan melarikan diri dan menyorok di rumah sepupunya di Taman Sri Intan  bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

“Suspek terus kejar mangsa dan sebaik tiba di rumah berkenaan, suspek mengeluarkan sebilah kelewang sambil ugut akan menetak mangsa sekiranya berjumpa dengannya.

“Pada masa sama, abang mangsa berusia 30-an yang dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang bergegas ke rumah sepupunya untuk melihat keadaan adiknya,” katanya.

Khaled berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, abang mangsa melihat suspek sedang mengamuk sambil melibas kelewang yang dipegangnya.

“Melihat keadaan suspek yang tidak terkawal, abang mangsa dengan bantuan penduduk kampung bertindak menangkapnya sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, abang mangsa memaklumkan kejadian seumpama itu kerap berlaku dan suspek sebelum ini pernah mengugut mahu menetak ahli keluarga mereka.

“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku antara mangsa dan suspek sebelum ini. Namun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger