Home » » Penagih diberkas dalam semak

Penagih diberkas dalam semak

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 14 February 2015 | 20:15


BESUT - Polis terus menggempur sarang penagihan di daerah ini selaras dengan usaha pasukan keselamatan itu untuk membanteras masalah pengedaran dan penagihan dadah yang menyumbang kepada kegiatan jenayah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, dalam satu operasi minggu lalu, sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan lima anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah telah menyerbu kawasan semak berdekatan Kampung Pangkalan Kubur, Tembila.

Menurutnya, dalam Ops Sarang bermula jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang itu, polis memberkas empat penagih berusia antara 20 hingga 40-an, selain turut merampas dua botol serbuk putih dipercayai heroin daripada seorang suspek.

“Polis berjaya memberkas suspek yang masuk ke situ seorang demi seorang. Mereka dipercayai datang untuk melepaskan gian menghisap dadah.

“Suspek menjadikan kawasan semak di situ sebagai sarang penagihan kerana terlindung daripada pandangan orang ramai,” katanya.

Khaled berkata, semua suspek ditahan untuk membantu siasatan dan saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

Beliau turut meminta jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sarang penagihan dadah untuk memaklumkannya kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger