Home » » Tedung senduk bawah tilam

Tedung senduk bawah tilam

Written By Berita Setiap Hari on Friday 13 February 2015 | 23:50


JERTIH - Anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Besut berjaya menangkap seekor ular tedung senduk yang dipercayai mematuk seorang kanak-kanak di Kampung Beris Bak Abu, di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd Suhaimi Awang berkata, ular tedung senduk bersaiz agak besar dengan ukuran panjang 1.5 meter itu berjaya ditangkap anggotanya kira-kira jam 9.45 pagi.

Menurutnya, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan daripada rakan kepada bapa mangsa yang meminta untuk menangkap seekor ular di sebuah rumah di situ.

“Pemanggil turut memaklumkan ular tersebut telah mematuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang sedang tidur di sebuah bilik rumah berkenaan," katanya.

Mohd Suhaimi berkata, bertindak atas maklumat, seramai tiga anggota JPAM dikejarkan ke rumah mangsa yang turut dijadikan bengkel kereta.

Katanya, ketika JPAM tiba, ibu bapa mangsa sudah membawa kanak-kanak  berkenaan ke Hospital Besut.

"Anggota kita mengambil masa beberapa minit mencari ular tersebut di dalam bilik itu dan berjaya menemuinya sedang bersembunyi di bawah tilam.

“Ular itu kemudian ditangkap dan dibawa pulang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kata Mohd Suhaimi, beliau dilaporkan mangsa dipatuk di bahagian paha oleh ular berkenaan ketika sedang tidur di dalam bilik di rumahnya.

Menurutnya, mangsa mengadu kepada ibunya sakit di bahagian paha dan apabila ibunya periksa, didapati terdapat kesan dipatuk.

“Salah seorang abang mangsa pula terlihat ular berkenaan di dalam bilik itu dan kemudian memaklumkan kepada ibunya,” katanya.

Menurutnya, beliau difahamkan kanak-kanak terbabit kini sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, (HUSM) Kelantan dan dilaporkan stabil.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan memastikan kebersihan dan mengemas halaman serta di dalam rumah bagi mengelak kejadian seperti itu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger