Home » » Mangsa nekad kejar peragut

Mangsa nekad kejar peragut

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 30 June 2015 | 02:24

RANTAU PANJANG - Seorang Pembantu Pemaju Masyarakat Tabika Kemas Lubok Jong nekad mengejar sambil menjerit ke arah seorang pemuda, yang meragut dompetnya dekat simpang tiga Pondok Polis Repek, jam 2 petang kelmarin.

Mazrina Mazlan, 26, berkata, dia baru sahaja mengambil adik sepupunya yang berusia sembilan tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang dengan menunggang motosikal skuter Scoopy.


Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, dia terkejut apabila lelaki berkenaan mengambil beg yang diletakkan di dalam raga kecil motosikalnya.

“Saya terlalu terkejut dan geram dengan tindakannya sehingga saya menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya malah hampir dilanggar kereta dari arah bertentangan.

“Ketika itu ada sebuah kereta dinaiki anggota keselamatan Unit Pencegah Penyeludupan mendengar jeritan saya, turut mengekori suspek sehingga ke Kampung Tali Sauh, Lubok Jong berdekatan Taman Tengku Anis,” katanya.

Namun Mazrina berkata, setibanya di kampung berkenaan, mereka mendapati motosikal yang digunakan oleh suspek terbalik di kawasan semak manakala suspek berjaya melarikan diri.

Tidak lama kemudian, Mazrina berkata, atas bantuan penduduk kampung, suspek berjaya ditahan dan dia mendapat semula dompet berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, seorang pemuda ditahan dalam keadaan berlumuran darah di kepala oleh penduduk kampung kerana didapati meragut seorang wanita, kelmarin.

“Suspek yang panik selepas mendapati diekori pihak berkuasa, disyaki terjatuh dari motosikal dan mengalami patah tangan kiri, pergelangan tangan kanan serta cedera di kepala dan luka pada betis kaki kanan.

“Suspek berada dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital  Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger