Thursday, 23 July 2015
Ahmad Yakob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan
KOTA BHARU – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan sekiranya meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.
Menurutnya, akuan sumpah itu diguna pakai sejak 2004 lagi kepada mana-mana wakil rakyat Pas Kelantan yang mahu meninggalkan parti tersebut.
“Bai’ah itu memang betul. Seperti yang dinyatakan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan (Datuk Daud Muhammad), perkara ini bukan main-main,” katanya.
Beliau diminta mengulas isu sumpah bai’ah yang didakwa dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan yang kini tersebar di aplikasi WhatsApp.
Menurut Daud, mana-mana individu yang melafazkan sumpah dan melanggar sumpah, dengan menyertai parti lain, perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrarkan itu adalah sah.
Ketika ditanya adakah perkara tersebut berkaitan dengan talak kepada isteri, Ahmad, yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia seperti yang terkandung dalam akuan sumpah berkenaan.
Ahmad turut ditanya mengenai laporan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan pakatan baru pembangkang, tetapi tidak melibatkan Pas.
Ahmad berkata, Pas tetap tidak akan berganjak (daripada pendiriannya) kerana parti Islam itu adalah parti yang diterima rakyat dan (programnya) telah terlaksana dengan jayanya.
“Saya tidak dapat lagi maklumat itu. Tetapi itu terpulanglah. Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi ini (mereka boleh lakukannya), dan jika ia diterima oleh pihak pendaftar,” katanya.
Ahmad hadir pada Majlis Ramah Mesra Mahasiswa yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi dan Ketua Pemuda Pas Negeri, Ahmad Fadhli Shaari.
Lebih 1,000 mahasiswa dari dalam dan luar negara hadir.