Wednesday, 22 July 2015

Bai'ah PAS: Cerai isteri talak tiga jika sertai GHB - Abdul Fatah


Bai'ah PAS: Cerai isteri talak tiga jika sertai GHB

PASIR MAS: Mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kelantan diingatkan supaya merujuk semula sumpah bai'ah talak tiga ke atas isteri masing-masing sekiranya berhasrat meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Menurut Ketua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, sumpah bai'ah bukan perkara baharu dan telah lama menjadi amalan parti itu di Kelantan yang mana semua wakil rakyat, sama ada di peringkat parlimen atau negeri, mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya PAS.

"Itu jelas kerana perkara ini bukan baharu iaitu sejak tahun 1990.

"Maknanya kalau keluar parti sukarela atau cara lain mereka ini termaktub dalam bai'ah tersebut, kecuali mereka ini terkeluar parti kerana kes jenayah, gila dan sebagainya," katanya kepada Astro AWANI.

Sebelum ini, Abdul Fatah dalam nada sinis pernah menyuarakan mengenai perkara itu melalui status Facebook dengan mengandaikan bahawa akan ada ramai isteri wakil rakyat PAS Kelantan yang bakal menjanda.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Maszlee Malik ketika dihubungi Astro AWANI menganggap kenyataan Abdul Fatah adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Katanya, Abdul Fatah sepatutnya lebih cerdik mengutamakan hal membabitkan kepentingan rakyat dan bukan memikirkan hal remeh termasuk status janda bagi isteri seseorang wakil rakyat.

"Sepatutnya dia (Abdul Fatah) pentingkan isu rakyat, nasional, pentadbiran dan bukan hanya memikirkan tentang isu seks.

"Ini memberi gambaran buruk kepada PAS dan rakyat menilainya, tambahan pula dengan adanya media sosial," ujar Maszlee.

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat Kelantan menolak pemimpin yang lebih mengutamakan isu remeh sehingga mengetepikan hal berkaitan kepentingan rakyat.

"Rakyat Kelantan kena tolak pemimpin yang hanya fikirkan isu seks. Kelantan masih perlu diberi perhatian lain termasuk paling utama isu pembangunan pasca banjir," katanya lagi.

Isu GHB menjadi perhatian dalam kalangan akar umbi PAS susulan khabar angin mengatakan ada sebilangan besar wakil rakyat dan ahli parlimen PAS Kelantan cenderung untuk meninggalkan parti dan menyertai gerakan itu.

Pada Sabtu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob menegaskan pendirian sedia untuk menentang GHB pada pilihan raya akan datang
http://www.astroawani.com/berita-politik/baiah-pas-cerai-isteri-talak-tiga-jika-sertai-ghb-abdul-fatah-66381